Polis kenal pasti kecederaan lain pada bayi mati ditikam

Suspek yang disyaki membunuh bayinya selepas dilahirkan kini dirawat di Hospital Kemaman.
Suspek yang disyaki membunuh bayinya selepas dilahirkan kini dirawat di Hospital Kemaman.
A
A
A

KEMAMAN - Polis sedang mengenal pasti punca kecederaan lain pada badan bayi yang mati ditikam ibunya sendiri dalam kejadian di daerah ini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, ia bagi memastikan sama ada kematian berpunca daripada perbuatan ibunya atau disebabkan proses bersalin.

"Kita sedang siasat kesan kecederaan lain ini sama ada ia konsisten akibat perbuatan suspek atau kesan kecederaan daripada proses semasa bersalin,"katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Rabu

Dalam pada itu, katanya pihak polis kini mengesan teman lelaki suspek yang merupakan kenalan sekampung yang didakwa merogolnya.

Katanya, ia berikutan laporan polis dibuat suspek mendakwa dirogol teman lelakinya yang berusia lingkungan 20-an tahun lalu.

"Semalam (Selasa) ketika dirawat di Hospital Kemaman, suspek ada membuat laporan polis sekitar jam 6 petang mendakwa dia dirogol teman lelakinya.

"Pihak polis telah membuka kertas siasatan bagi menyiasat teman lelaki suspek dibawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Kita juga berusaha mengesan lelaki berkenaan yang dipercayai telah melarikan diri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Hanyan berkata, polis telah merampas objek tajam dipercayai digunakan suspek berusia 15 tahun itu untuk membunuh bayi tersebut.

"Satu objek tajam yang dipercayai digunakan untuk menikam bayi itu telah dirampas.

Kita juga masih menyiasat sekiranya terdapat objek-objek lain yang turut digunakan suspek dalam kes itu," katanya.

Pada Rabu, suspek yang merupakan pelajar keciciran sekolah sejak tiga tahun lalu direman selama tujuh hari bermula Rabu sehingga Selasa depan.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman di Hospital Kemaman, disini pada Rabu bagi membolehkan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Selasa lalu, seorang bayi yang baharu dilahirkan ditemui meninggal dunia dengan kesan tikaman dipercayai dibunuh ibunya sendiri dalam kejadian di sebuah rumah, disini.