Remaja tikam bayi sendiri direman tujuh hari

No Image Caption
A
A
A

KEMAMAN - Remaja berusia 15 tahun yang disyaki membunuh dengan menikam bayinya sendiri selepas dilahirkan direman selama tujuh hari bermula Rabu sehingga Selasa depan.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman di Hospital Kemaman, di sini pada Rabu bagi membolehkan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Suspek yang melahirkan bayi itu pada pagi Selasa kini masih dirawat di hospital berkenaan.

Pada Selasa, seorang bayi yang baharu dilahirkan cukup sifat ditemui meninggal dunia di sebuah rumah di daerah ini dengan kesan tikaman pada bahagian dada kiri.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, bayi lelaki itu dipercayai ditikam menggunakan objek tajam oleh ibunya sendiri.

Menurutnya, ketika kejadian, ahli keluarga suspek tiada di rumah dan remaja berkenaan meminta bantuan rakannya untuk menghubungi petugas kesihatan bagi memaklumkan kelahiran bayi tersebut.

Bagaimanapun, katanya, selepas pemeriksaan dibuat, petugas kesihatan mendapati bayi berkenaan sudah tidak bernyawa dan terdapat kesan luka di dada, dipercayai akibat ditikam.

Beliau berkata, polis turut mengenalpasti seorang lelaki yang dipercayai merogol remaja berkenaan dan kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 302 dan 376 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan: