Tuntutan palsu: Pengarah syarikat dijel, denda RM828,170

Seorang pengarah sebuah syarikat didapati bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat, atas empat pertuduhan mengemukakan dokumen palsu berjumlah RM165,834 pada 2013 lalu.
Seorang pengarah sebuah syarikat didapati bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat, atas empat pertuduhan mengemukakan dokumen palsu berjumlah RM165,834 pada 2013 lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - "Walaupun nak cari rezeki, buat dengan cara yang betul, jadilah teladan kepada anak-anak," kata Hakim Rozina Ayob kepada seorang pengarah sebuah syarikat, selepas didapati bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas empat pertuduhan mengemukakan dokumen palsu berjumlah RM165,834 pada 2013 lalu.

Ahmad Fauzi Abdul Samad, 50, didenda RM828,170 dan penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan, apabila pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaannya.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda dan hukuman penjara berjalan serentak.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah kemudian menaikkan ikat jamin terhadap tertuduh daripada RM40,000 kepada RM65,000.

"Tertuduh juga diperintah untuk melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Johor Bahru pada minggu pertama setiap bulan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan disenarai hitam dari ke luar negara," katanya.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Ahmad Fauzi telah memberikan suatu dokumen iaitu invois kepada empat syarikat bertarikh 25 November 2013 berjumlah RM165,834 yang mana ia adalah palsu, berkaitan empat program Skim Kemahiran dan Kerjaya 1Malaysia-Industri (SKK1M) yang sebenarnya tidak dijalankan empat syarikat tersebut.

Empat syarikat itu ialah Moca Resources Sdn Bhd (Program Painting & Blasting), Alfah Synergy Sdn Bhd (Structured Internship Programme Scaffoding) Occupational Safety & Health Sdn Bhd (Site Safety Supervisor Structured Internship Programme) dan Iskandar Vocational & Tech Academy Sdn Bhd (Program Kolaborasi Strategi Kolej Komuniti Bersama Industri-Juruteknik Telekomunikasi).

Artikel Berkaitan:

Kesemua dokumen invois palsu berkaitan program itu diberikan kepada seorang pegawai di Bahagian Hubungan Industri, Pengesahan Graduan dan Alumni dari sebuah kolej komuniti.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di ibu pejabat pengajian kolej berkenaan pada 25 November 2013.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang membawa penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai yang palsu atau RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Asraf Mohamed Tahir mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran selain mengelak daripada kesalahan sama berulang.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Azamuddin Abd Aziz merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan kerana menyesal dengan perbuatan tersebut.

"Anak guam saya perlu menyara isteri dan tiga anaknya yang berusia 15 hingga 23 tahun," katanya.

Dalam prosiding sama, mahkamah melepas dan membebaskan seorang lagi individu, Mohd Faisal Ishak, 60, dakwaan bersubahat dengan Ahmad Fauzi dengan atas kesalahan sama dan didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) akta sama.

Sebanyak 140 eksibit dikemukakan ke mahkamah dalam perbicaraan bermula Disember 2019 dengan pihak pendakwaan memanggil 30 saksi manakala pembelaan tampil dengan dua saksi.