Golongan munafik ancam agama, negara

Jemaah mendengar khutbah Jumaat yang disampaikan khatib di Masjid Rahmaniah Kampung Ulu Chepor, di sini pada Jumaat.
Jemaah mendengar khutbah Jumaat yang disampaikan khatib di Masjid Rahmaniah Kampung Ulu Chepor, di sini pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Umat Islam perlu berwaspada terhadap golongan munafik yang mampu mengancam kesejahteraan ummah dan keselamatan sesebuah negara.

Ingatan itu dizahirkan menerusi teks khutbah Jumaat disediakan Jabatan Agama Islam Perak yang dibaca di seluruh masjid dan surau yang mendirikan solat Jumaat.

Menurut teks khutbah Jumaat tersebut, sifat munafik merupakan antara penyakit yang paling bahaya dalam masyarakat serta boleh menjadi gunting dalam lipatan mahupun musuh dalam selimut.

Jelasnya, orang munafik boleh dikenali melalui beberapa sifat antaranya mengharapkan apa juga kebaikan dibalas dengan upah sama ada berbentuk wang ringgit, harta, pangkat dan jawatan.

Golongan ini juga tidak memiliki pendirian kukuh, menunjukkan pendirian yang sentiasa berubah mengikut keadaan dan sangat mudah terpengaruh dengan persekitaran,

"Orang munafik juga boleh diibaratkan sebagai pelakon hebat, bijak melakonkan watak mengikut pentas dan penonton. Sifat bermuka-muka, memuji sewaktu berhadapan dan mengumpat ketika berada di belakang.

"Tidak berasa bersalah malah berbangga melakukan dosa dengan memberikan pelbagai hujah untuk menghalalkan apa juga dosa yang telah dilakukan," jelas teks khutbah tersebut.

Menurutnya, golongan itu juga melakukan kerosakan di bumi dengan menggunakan tipu muslihat dan memutar belitkan fakta memberi alasan mahu membuat perkara baik sedangkan yang berlaku sebaliknya.

Artikel Berkaitan:

Justeru, mimbar mengingatkan umat Islam agar menjauhkan diri daripada menjadikan orang munafik sebagai rakan mahupun sekutu kerana perlakuan munafik amat membahayakan diri, masyarakat, negara dan agama.

Malah di dalam al-Quran terdapat 13 ayat yang memperingatkan umat Islam mengenai golongan munafik, bahkan terdapat satu surah khusus di dalam Al-Quran yang membicarakan perihal munafik iaitu Surah Al-Munafiqun.

Jelas teks khutbah itu lagi, sikap dan amalan munafik mesti dihapuskan dalam kehidupan kerana sepanjang sejarah Islam, golongan munafik ialah perosak kepada kehidupan beragama dan menghalang penghayatan hidup berlandaskan tauhid serta keesaan ALLAH SWT.