Tiada laporan warga Bangladesh dibaham harimau: Polis

Mior Faridalathrash menunjukkan paparan maklumat palsu yang tersebar di media sosial mengaitkan kejadian seorang warga Bangladesh maut dibaham harimau.
Mior Faridalathrash menunjukkan paparan maklumat palsu yang tersebar di media sosial mengaitkan kejadian seorang warga Bangladesh maut dibaham harimau.
A
A
A

IPOH - Tiada kejadian warga Bangladesh maut akibat dibaham harimau dekat perkampungan orang asli Pos Raya antara Simpang Pulai ke Cameron Highlands sepertimana ditularkan di media sosial.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, maklumat yang tersebar bersama sekeping gambar rangka manusia dalam keadaan mengerikan itu adalah palsu.

Menurutnya, siasatan polis mengesahkan tiada kejadian seumpama itu berlaku di negeri ini.

"Saya sahkan memang maklumat ini palsu dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh tidak menerima apa-apa laporan mengenai kejadian itu," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Khamis.

Beliau meminta semua pihak untuk menghentikan penyebaran maklumat palsu itu bagi mengelak timbul kegusaran dan kebimbangan orang ramai.

Katanya, tindakan menyebarkan maklumat tanpa kesahihan pihak berkuasa bukan sahaja satu tindakan tidak bertanggungjawab, tetapi menyalahi undang-undang.

"Kita minta jangan siarkan maklumat-maklumat sebegini atau mereka akan dikenakan tindakan undang-undang sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1988," katanya.

Beberapa laman sosial Facebook dan WhatsApp pada pagi Khamis telah berkongsi maklumat kononnya berlaku kejadian seekor harimau membaham seorang warga Bangladesh di Pos Raya antara Simpang Pulai ke Cameron Highlands.

Artikel Berkaitan:

Turut dikongsi sekeping gambar rangka manusia tanpa kepala yang difahamkan adalah gambar kejadian kes yang berlaku di luar negara.

Dalam pada itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak masih meneruskan pemantauan di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands bagi mengesan harimau belang yang dilihat berkeliaran sepertimana dalam beberapa rakaman video tular baru-baru ini.

Pengarahnya, Yusof Shariff berkata, hasil pemeriksaan kakitangan Unit Harimau yang dihantar ke lokasi itu sejak Sabtu lepas mendapati kehadiran haiwan itu adalah benar, namun setakat ini tiada kesan tapak kaki dijumpai.

"Maklumat terbaru diperoleh, haiwan itu dilihat masih berkeliaran di sekitar kawasan berhampiran.

"Jadi kita nasihatkan orang ramai tidak menghampiri atau melakukan sebarang provokasi dan segera memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya terserempak," katanya.

Jumaat lalu tular video berdurasi 17 saat menerusi aplikasi TikTok menunjukkan seekor harimau berjalan di celah semak samun di kawasan berbukit.

Pemilik media sosial itu mendakwa lokasi terbabit ialah selepas Cafe Banjaran yang terletak berhampiran kawasan rehat dan rawat serta meminta orang ramai berhati-hati.