Pusat tahfiz di Pahang perlu di tadbir urus dengan baik

Tengku Hassanal (kiri) menyampaikan anugerah kepada salah seorang pelajar cemerlang pada majlis pengurniaan anugerah kecemerlangan dan khatam hafazan Al-Quran Maahad Tahfiz Pahang 2021 di Hotel Zenith di sini pada Khamis.
Tengku Hassanal (kiri) menyampaikan anugerah kepada salah seorang pelajar cemerlang pada majlis pengurniaan anugerah kecemerlangan dan khatam hafazan Al-Quran Maahad Tahfiz Pahang 2021 di Hotel Zenith di sini pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Pusat-pusat tahfiz di Pahang perlu di tadbir urus dengan baik dan profesional dalam usaha memastikan kelancaran pembelajaran serta kebajikan pelajar-pelajarnya terjaga.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, aspek keselamatan perlu dititikberatkan oleh pengusaha pusat tahfiz bagi mengelak kejadian tidak diingini daripada berlaku.

Baginda bertitah, justeru, pembukaan pusat tahfiz baharu pada masa akan datang ia perlu disemak dengan teliti.

"Saya tidak mahu berbangga dengan bilangan pusat tahfiz yang banyak tetapi pengurusannya lemah, asrama usang, atapnya bocor, kebajikan pelajarnya tidak terjaga.

"Justeru, pembukaan pusat tahfiz baharu perlu disemak dengan teliti dan pusat-pusat tahfiz yang sedia ada juga perlu diperiksa demi memastikan kebaikan kepada semua pihak.

"Janganlah pula pembukaan pusat tahfiz baharu nanti seperti "dibuat bagai gulai sedap, nasi mentah, nasi sedap, gulai pula mentah". Kita kena jadikan teladan dan iktibar daripada kejadian lalu," titahnya.

Baginda bertitah demikian pada majlis pengurniaan anugerah kecemerlangan dan khatam hafazan Al-Quran Maahad Tahfiz Pahang 2021 di Hotel Zenith di sini pada Khamis.

Dalam majlis tersebut, seramai 58 pelajar menerima anugerah kecemerlangan, merangkumi anugerah khatam hafazan 30 juzuk, anugerah Diploma Tahfiz Al-Quran, anugerah kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kecemerlangan Kokurikulum.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Baginda bertitah, model pembangunan Maahad Tahfiz Negeri Pahang dapat dijadikan penanda aras dalam mencorakkan institusi tahfiz al-Quran di negara ini.

“Saya dimaklumkan, di negeri ini ketika ni terdapat lebih 100 buah pusat tahfiz persendirian dan swasta yang telah dibangunkan. Alhamdulillah... kerana masing-masing bersaing untuk melakukan kebaikan dengan melahirkan para huffaz seramai yang mungkin,” titah baginda.

Dalam titah ucapan itu, Tengku Hassanal berbesar hati apabila Maahad Tahfiz Negeri Pahang turut menawarkan peluang pendidikan tahfiz di peringkat pra-sekolah dan sekolah rendah.

Baginda bertitah, ini adalah satu perkembangan menggembirakan seluruh warga Pahang khususnya bagi mereka yang mengimpikan anak-anak menjadi seorang huffaz.

Selain mendalami ilmu al-Quran, Tengku Hassanal titah, mereka turut didedahkan dengan akademik aliran perdana termasuk boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan baik.

"Sudah tentu masa depan akan terjamin apabila ramai terlahir pemimpin dan golongan profesional yang terdiri daripada para penghafaz al-Quran. Saya juga berharap lebih ramai penghafaz al-Quran seumpama ini dapat dilahirkan pada masa akan datang," katanya.