16,000 anggota, pegawai polis ditugaskan pada PRN Johor

Kamarul Zaman
Kamarul Zaman
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 16,000 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal ditugaskan bagi memastikan pelaksanaan proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac depan berjalan lancar.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, jumlah tersebut menyaksikan pertambahan seramai 5,000 anggota dan pegawai berbanding hanya 11,000 sebelum ini.

Jelasnya, perbincangan telah dilakukan dengan Bukit Aman sebelum ini bagi penyusunan gerak kerja dan pertambahan anggota termasuk meletakkan Pasukan Cantas yang akan memastikan tiada gangguan sewaktu PRN Johor berlangsung.

"Pihak Bukit Aman telah berbincang sebelum ini. Pengundi jangan risau, kempen dan hari pengundian nanti akan berlaku secara aman.

"Sekiranya terdapat ugutan, laporkan segera. PDRM akan letakkan Pasukan Cantas dari Bukit Aman yang mana pasukan ini akan memastikan tiada gangguan mahupun halangan kepada orang ramai keluar mengundi kelak," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Khamis.

Kamarul Zaman berkata, tiada aduan mengenai pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) oleh parti-parti politik diterima IPK Johor setakat ini.

"Ini menunjukkan kempen PRN Johor berjalan lancar, namun tindakan tegas termasuk kompaun akan diambil jika terdapat pelanggaran SOP dilakukan.

"Parti-parti politik diingatkan agar menjalankan kempen dengan patuh SOP mengikut Pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu pada Rabu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac depan sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari dan tarikh mengundi awal pula pada 8 Mac.