Sila log masuk terlebih dahulu.

25 individu ditahan kes jual sijil vaksin palsu

Mohd Kamarudin Md Din
Mohd Kamarudin Md Din
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 25 individu termasuk tiga doktor ditahan membabitkan sembilan kes penipuan penjualan sijil vaksin palsu yang dikesan di seluruh negara sejak bulan lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, daripada jumlah itu, turut ditahan membabitkan tiga jururawat, 11 orang awam, tujuh ejen dan seorang staf klinik.

"Kebanyakan siasatan kes berkenaan sudah hampir selesai dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan pertuduhan," katanya ketika ditemui pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman, di sini pada Khamis.

Mohd Kamarudin berkata, kes terbaharu yang dikesan pihaknya membabitkan sijil vaksin palsu dilaporkan di Kinarut, Sabah, pada minggu lalu.

"Kita menerima laporan daripada seorang staf klinik pada 4 Februari lalu yang melaporkan seorang doktor melakukan aktiviti penjualan sijil vaksin palsu.

"Suspek berkenaan yang juga seorang doktor berusia 37 tahun ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7 Februari lalu,” katanya.

Dalam kes berasingan, Mohd Kamarudin berkata, pihaknya menerima dua laporan di Selangor berhubung kes penipuan berkaitan tawaran penjualan kit ujian covid-19 yang tidak wujud melibatkan kerugian keseluruhan berjumlah RM710,000.

"Berdasarkan siasatan, kedua-dua mangsa yang juga ahli perniagaan telah mengadakan perbincangan dengan sebuah syarikat yang mendakwa boleh membantu dalam pembelian kit ujian pengesanan covid-19 dari syarikat pengeluar di China.

Artikel Berkaitan:

"Setelah pembayaran dilunaskan, kit ujian yang dibeli tidak diterima. Mangsa seterusnya membuat semakan terus dengan syarikat pengeluar di China dan mendapati tiada sebarang pesanan diterima oleh pihak pengeluar," katanya.

Mohd Kamarudin memaklumkan kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.