X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022

PDRM jalankan risikan, kesan sindiket jual sijil vaksin palsu

Acryl Sani
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani telah mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menjalankan risikan dan mengesan sindiket yang terlibat dalam aktiviti penjualan sijil vaksin Covid-19 palsu.

Acryl Sani berkata, pihaknya memandang serius terhadap tindakan kumpulan atau individu yang menjalankan aktiviti penjualan sijil vaksin Covid-19 palsu.

"Setakat ini, kita telah menahan seorang individu di Marang, Terengganu berkaitan penawaran sijil vaksin palsu.

"Kita tidak pasti sama ada perkara sama berlaku di negeri lain namun siasatan lanjut akan dilaksanakan," katanya dalam sidang akhbar pada Program Pendidikan dan Kemahiran Awal Murid Autisme di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini pada Rabu.

Menurutnya, perkara itu wajar dipandang serius kerana ia menghalang usaha kerajaan mengawal wabak Covid-19.

"Kita tidak mahu melihat langkah kerajaan membendung pandemik terhalang dengan tindakan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Pada Selasa, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Kamarudin Md Din memaklumkan, setakat ini hanya satu kes dikesan berkenaan aktiviti penawaran sijil vaksin palsu.

Suspek merupakan seorang pengamal perubatan berusia 51 tahun ditahan di Marang Terengganu kerana disyaki menjalankan aktiviti penjualan sijil vaksin Covid 19 tanpa memberikan suntikan vaksin sebenar.

Kamarudin berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kegiatan itu digesa menyalurkan maklumat tersebut kepada polis.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!