JAIPk rujuk SPRM tingkat integriti urus dana masjid

Masjid Sultan Idris Shah II, Ipoh - Foto 123rf (Gambar kecil: Mohd Yusop)
Masjid Sultan Idris Shah II, Ipoh - Foto 123rf (Gambar kecil: Mohd Yusop)
A
A
A

IPOH - Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) mendapatkan pandangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam membangunkan sistem perolehan bagi masjid-masjid kariah di negeri ini.

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, sistem perolehan itu dibangunkan bagi meningkatkan integriti dan ketelusan sistem kewangan masjid.

Jelas beliau, usaha itu juga dilaksanakan kerana masjid menerima dana sumbangan daripada orang ramai.

Setakat ini, menurut Mohd Yusop, tidak ada satu sistem perolehan yang standard di masjid dan ia bergantung kepada kecekapan pengurusan sesebuah masjid untuk menguruskan dana atau sumbangan daripada jemaah.

"Jadi ini akan berikan panduan kepada jawatankuasa kariah dari segi perolehan, bagaimana nak guna duit, bila libatkan sebut harga macam mana nak buat.

"Biar perkara ini nampak telus, kita tak mahu pengurusan masjid didengar telus tapi bila lihat tak telus," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Penarafan Masjid Sebagai Pusat Informasi Maya di Dewan As-Syafie, Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri), di sini pada Rabu.

Mohd Yusop berkata, dengan adanya sistem perolehan itu, tidak akan menimbulkan fitnah dan tohmahan terhadap penggunaan dana masjid.

Menurutnya, ahli kariah juga berhak untuk mengetahui penyaluran sumbangan yang dibuat kepada masjid.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu mengulas mengenai Pusat Informasi Maya di masjid, Mohd Yusop menjelaskan inisiatif itu rentetan usaha yang dilakukan beberapa masjid di negeri ini membantu ahli kariah untuk mengakses maklumat dan mengikuti pembelajaran dalam talian.

Katanya, sebagai permulaan, 10 masjid dan satu surau terpilih di negeri ini akan menjadi perintis kepada usaha tersebut.

Jelasnya, pihak masjid akan menyediakan kemudahan berkaitan termasuk peranti mengikut kemampuan masing-masing.

"Kita amat mengalu-alukan badan korporat, swasta mahu pun orang perseorangan bagi membantu masjid menyediakan kemudahan Pusat Informasi Maya.

"Melalui inisiatif ini, kita berharap masjid boleh membantu anak kariah untuk belajar dan mengakses maklumat di masjid," katanya.