Debu gunung berapi Padang Sanai perlu perhatian

Abdul Halim menunjukkan debu gunung berapi yang berada di dalam kawasan miliknya yang digazetkan sebagai Tapak Terpelihara Geowarisan Kedah pada tahun 2015 di Kampung Padang Nyior, Padang Sanai, Kedah.
Abdul Halim menunjukkan debu gunung berapi yang berada di dalam kawasan miliknya yang digazetkan sebagai Tapak Terpelihara Geowarisan Kedah pada tahun 2015 di Kampung Padang Nyior, Padang Sanai, Kedah.
A
A
A

KUALA NERANG - Debu gunung berapi berusia 74,000 tahun yang digazetkan sebagai Tapak Terpelihara Geowarisan Kedah pada tahun 2015 di Kampung Padang Nyior, Padang Sanai, dekat sini memerlukan perhatian pihak berwajib.

Abdul Halim Jusoh, 73, berkata, debu secara bertaburan itu berada di dalam kawasan seluas 1.2 hektar miliknya dan secara sukarela menjaga serta membersihkan kawasan persekitaran sejak beberapa tahun lalu.

Dia memotong rumput di sekitar tapak debu gunung berapi sekurang-kurangnya sebulan sekali bagi mengelakkan kawasan tersebut dipenuhi semak samun dan dihuni binatang berbisa seperti ular.

"Sepatutnya, kawasan sejarah ini perlu ditambah kemudahan lebih cantik untuk pelancong tapi setakat hari ni tak ada (infrastruktur lain). Tempat orang nak duduk, tempat nak rehat, nak tengok pun tak ada.

"Cuma kita bubuh papan tanda sahaja. Sepatutnya, perlu dibina struktur bangunan yang sesuai untuk pelancong datang dan duduk," katanya ketika ditemui pemberita di tapak debu gunung berapi tersebut di Kampung Padang Nyior baru-baru ini.

Abdul Halim berkata, sejak tujuh tahun lalu, kawasan tersebut sudah dikunjungi pelancong tempatan dari seluruh negara termasuk pelancong asing seperti dari Jepun dan Korea Selatan.

Katanya mengambil tanggungjawab untuk membersihkan kawasan tumpuan pelancong tersebut biarpun tiada peruntukan ataupun bayaran diberikan oleh pihak berwajib.

"Debu gunung berapi ini tidak gatal. Saya percaya ada khasiat tersendiri kerana hasil tanaman saya seperti cempedak, nangka dan harumanis yang ditanam di sekitar rumah tumbuh subur dan berbuah tanpa musim," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Abdul Halim memotong rumput di sekitar tapak debu gunung berapi sekurang-kurangnya sebulan sekali bagi mengelakkan kawasan tersebut dipenuhi semak samun dan dihuni binatang berbisa seperti ular.
Abdul Halim memotong rumput di sekitar tapak debu gunung berapi sekurang-kurangnya sebulan sekali bagi mengelakkan kawasan tersebut dipenuhi semak samun dan dihuni binatang berbisa seperti ular.

Sementara itu, Pengurus Kedah Tourism, Azlan Fitri Abdul Razak yang dihubungi pemberita berkata, pihaknya sentiasa mempromosikan kawasan bersejarah termasuk tapak geowarisan itu kepada orang awam dan pelancong.

Menurutnya, kerajaan negeri Kedah juga diharapkan dapat membantu menyediakan infrastruktur dan kemudahan lengkap di kawasan itu dalam usaha menarik lebih ramai pelancong kelak.

"Kami menyasarkan pelancong tempatan dan juga pelancong dari Korea Selatan, Jepun dan India untuk datang ke sini.

"Selain itu, Kedah Tourism juga sedang mempromosikan produk sedia ada seperti gua-gua terdapat di Baling dan jerami padi yang sinonim dengan musim menuai di Sedaka, Yan," katanya.

Tapak Terpelihara Geowarisan Kedah debu gunung berapi dirasmikan pada 27 April 2015 oleh Exco Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan Kedah ketika itu, Datuk Badrol Hisham Hashim.

Letupan gunung berapi di Toba, Sumatera di Indonesia telah menyaksikan debu gunung berapi itu diterbangkan hingga ke barat laut.

Debu tersebut ditemui sejak 1980 di Serdang, Selangor; Lenggong, Perak; dan di Padang Nyior dekat sini sebelum kajian dilakukan pada 1990 hingga 1995.