Kenaikan gaji minimum: Nik Nazmi persoal tindakan MEF

Nik Nazmi
Nik Nazmi
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad mempersoalkan tindakan Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman yang dikatakan sering memberikan pelbagai alasan setiap kali cadangan kenaikan gaji kepada pekerja.

Beliau berkata, ia termasuk cadangan terbaharu iaitu kenaikan gaji minimum sebanyak RM1,500.

“Alasan terbaru adalah gaji minimum lebih tinggi akan menjejaskan kebangkitan ekonomi dalam suasana pandemik Covid-19 dan selepas banjir besar yang melanda pada Disember 2021.

“Tetapi sebelum banjir dan Covid-19 alasan lain pula,” katanya dalam satu hantaran di Facebook milik beliau, pada Isnin.

Pada Ahad, Syed Hussain mengulangi bahawa situasi sekarang bukan masa sesuai untuk meningkatkan kos menjalankan perniagaan dan cadangan pelaksanaan gaji minimum baharu RM1,500 akan menjejaskan pemulihan ekonomi.

Menurutnya, majoriti perniagaan Malaysia tidak bersedia dan tidak dapat melaksanakan cadangan gaji minimum baharu itu kerana mereka belum mencapai kestabilan ekoran kejutan ekonomi akibat Covid-19 dan kesan buruk daripada banjir besar baru-baru ini.

Nik Nazmi berkata, MEF pernah mendakwa kebanyakan pekerja yang menerima gaji minimum adalah pekerja asing.

“Jadi, sebarang kenaikan akan untungkan pekerja asing dan bukan pekerja tempatan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, MEF juga memberikan alasan bahawa pengusaha kecil dan sederhana (PKS) tidak mampu menampung kenaikan gaji tersebut, malah akan menyebabkan mereka terpaksa gulung tikar.

“Dah macam alasan pelajar hari-hari tak buat kerja rumah. Ada sahaja alasan dia.

“Masalah gaji kecil dan tak selari dengan kos sara hidup sudah lama ada. Laporan Bank Dunia pada 2019 menyatakan peningkatan gaji pekerja bergaji rendah, lebih muda dan mempunyai kelulusan pendidikan rendah jauh ketinggalan berbanding pekerja lain,” katanya.