Jenazah Rayan dikebumikan hari ini

Rayan dibawa menaiki sebuah ambulans sebelum dihantar ke sebuah helikopter untuk dipindahkan ke hospital berhampiran. - Foto: Agensi
Rayan dibawa menaiki sebuah ambulans sebelum dihantar ke sebuah helikopter untuk dipindahkan ke hospital berhampiran. - Foto: Agensi
A
A
A

RABAT - Jenazah kanak-kanak berusia lima tahun yang terjatuh dan terperangkap selama lima hari di dalam sebuah perigi di Maghribi akan disemadikan selepas segala persiapan mula dibuat pada Isnin.

Pengebumian Rayan Awram akan dilakukan di perkampungan Ighrane di utara Rabat yang didiami keluarganya yang turut menjadi lokasi kejadian tragik tersebut.

Menurut ahli keluarganya, tiada laporan berhubung bedah siasat diberikan kepada mereka setelah mayatnya dibawa ke sebuah hospital tentera setelah ia berjaya dikeluarkan daripada perigi sedalam 32 meter tersebut.

Usaha menyelamatkan Rayan yang dilancarkan sejak Selasa lalu berakhir tragedi selepas dia ditemui dalam keadaan tidak bernyawa pada lewat Sabtu.

Media tempatan melaporkan tubuh kecil Rayan Awram dibaluti selimut ‘foil’ ketika di bawah keluar dari telaga tersebut yang terletak di kawasan berbukit di perkampungan Ighran berhampiran Chefchaouen.

“Tidak lama selepas itu, pihak istana mengeluarkan kenyataan mengesahkan kematiannya,” ujar laporan itu lagi.

Pemerintah negara itu, Raja Mohammed VI turut menghubungi kedua-dua ibu bapanya, Khaled Awram dan Wassima Khersheesh untuk menyampaikan ucapan takziah atas kehilangan kanak-kanak tersebut setelah operasi penggalian yang disifatkan mencabar serta berbahaya mendapat perhatian komuniti antarabangsa yang menanti dengan penuh debaran.

Baginda juga menzahirkan penghargaan kepada pasukan penyelamat termasuk orang awam yang telah berhempas-pulas untuk menjayakan operasi itu.

Artikel Berkaitan:

Sejak Selasa lalu, usaha penggalian secara selari dari bahagian sisi melalui cerun ke dalam bukit giat dilakukan malah anggota penyelamat turut menyalurkan bekalan oksigen, air serta makanan kepada Rayan melalui tiub.

Kanak-kanak itu dipercayai terjatuh ketika bapanya membaiki telaga tersebut dan kehilangannya hanya disedari ahli keluarga mereka selepas terdengar esakan Rayan dari dalam perigi berkenaan.

Ketika ini, rakyat Maghribi turut berduka dengan kematian tragik kanak-kanak itu.

Pengguna media sosial seluruh dunia menangisi pemergiannya menerusi mesej yang dikongsi di platform masing-masing.

"Rayan telah menyatukan semua penduduk dunia," ujar seorang pengguna di Twitter.

Insiden menimpa kanak-kanak itu berlaku kira-kira tiga tahun selepas tragedi sama di Sepanyol yang menyaksikan seorang budak dua tahun terkorban selepas terjatuh di dalam telaga terbiar sedalam 70 meter. - AFP