Kerajaan stabil, tiada keperluan percepat PRU15: Pas

Tiada keperluan PRU15 diadakan dalam tempoh terdekat memandangkan kerajaan yang mentadbir negara ketika ini berada dalam keadaan stabil. - Gambar hiasan (gambar kecil: Mohd Amar)
Tiada keperluan PRU15 diadakan dalam tempoh terdekat memandangkan kerajaan yang mentadbir negara ketika ini berada dalam keadaan stabil. - Gambar hiasan (gambar kecil: Mohd Amar)
A
A
A

KOTA BHARU - Pas menegaskan tiada keperluan untuk melaksanakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam tempoh terdekat memandangkan kerajaan yang mentadbir negara ketika ini berada dalam keadaan stabil.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, situasi jangkitan Covid-19 yang menunjukkan peningkatan ketika ini dilihat tidak sesuai untuk membenarkan PRU15 dilangsungkan.

"PRU15 hanya sesuai dilangsungkan jika wujud 'gangguan' daripada pihak pembangkang yang boleh menjejaskan kestabilan serta majoriti kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang mahu PRU15 diadakan dengan segera untuk membolehkan rakyat memberikan mandat kukuh kepada kerajaan yang lebih stabil.

Mohd Amar yang juga merupakan Timbalan Menteri Besar Kelantan sebelum itu merasmikan Majlis Apresiasi dan Penyampaian Sumbangan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) serta Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Parlimen Pengkalan Chepa 2022 pada Isnin.

Menurutnya, kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob ketika ini berjalan lancar dan mendapat sokongan daripada parti pembangkang iaitu Pakatan Harapan (PH) menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani pada 13 September lalu.

Beliau berkata, sekiranya PRU15 terus dijalankan dalam masa terdekat, berkemungkinan jangkitan akan terus meningkat.

Mohd Amar berkata, situasi itu dilihat boleh memberikan kesan dan membahayakan rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Kalau ikutkan saya sebagai orang politik menang hendak pilihan raya supaya dapat menentukan kerajaan yang kukuh. Cuma kita perlu lihat keadaan, pertama peningkatan kes jangkitan Covid-19 yang sudah mencecah 10,000 kes ketika ini," katanya.