Jumlah kes kemalangan maut Kelantan turun ketika Op Selamat 17

Shuhaimi (tiga dari kanan) melakukan pemeriksaan kenderaan pada Op Selamat 17 di Kota Bharu pada Ahad.
Shuhaimi (tiga dari kanan) melakukan pemeriksaan kenderaan pada Op Selamat 17 di Kota Bharu pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Jumlah kes kemalangan maut pada musim perayaan Tahun Baharu Cina di Kelantan tahun ini mencatatkan penurunan sebanyak 33 peratus dalam tempoh sembilan hari Op Selamat 17 dilaksanakan berbanding tempoh sama Op Selamat 16 dua tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, jumlah kes kemalangan maut yang direkodkan pada tahun 2020 ialah 12 kes dan berkurangan kepada lapan pada tahun ini.

Katanya, daripada jumlah kes kemalangan maut itu, sebanyak 10 kematian dicatatkan pada tahun ini berbanding 14 kematian pada tempoh sama dua tahun lalu atau pengurangan sebanyak 29 peratus.

“Jumlah keseluruhan kemalangan yang berlaku dalam tempoh sembilan hari Op Selamat ke-17 bermula 28 Januari 2022 sehingga 5 Februari 2022 ialah 318 kes berbanding 346 kes dalam tempoh sama tahun 2020.

“Berlaku penurunan jumlah kemalangan jalan raya sebanyak 28 kes atau lapan peratus berbanding dua tempoh itu manakala bagi tahun 2021 tidak ada Op Selamat kerana seluruh negara menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Khas Motosikal Sempena Tahun Baharu Cina oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini pada Ahad.

Ujar beliau, penurunan keseluruhan statistik kemalangan itu disifatkan sebagai satu kejayaan yang dicapai oleh seluruh warga PDRM Kontinjen Kelantan dan terhasil daripada kerjasama antara polis serta masyarakat awam.

Artikel Berkaitan:

Shuhaimi (kiri) ketika bercakap kepada pemberita di Kota Bharu pada Ahad.
Shuhaimi (kiri) ketika bercakap kepada pemberita di Kota Bharu pada Ahad.

“Kejayaan ini juga hasil keberkesanan Op Selamat 17 yang dilaksanakan dengan memberikan lebih penumpuan kepada kelancaran lalu lintas dan keselamatan pengguna jalan raya melalui pendekatan advokasi atau memberi nasihat.

“Jumlah kenderaan masuk ke Kelantan meningkat dengan banyak namun ramai mengutamakan disiplin dan mematuhi undang-undang jalan raya termasuk memandu mengikut had laju yang ditetapkan,” katanya.

Mengulas lanjut, jumlah saman yang dikeluarkan PDRM Kontinjen Kelantan sepanjang sembilan hari Op Selamat 17 tersebut juga berkurangan iaitu 6,675 berbanding Op Selamat 16 iaitu 7,747 saman.

“Jumlah saman yang keluarkan tahun ini berkurangan sebanyak 1,072 saman atau 14 peratus berbanding dua tahun lalu.

“Bagi tangkapan pula hanya satu kes dicatatkan berkait kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala dua kes membabitkan dadah,” katanya.

Tambah beliau, aliran trafik di negeri ini yang sesak sejak seminggu lalu mula kembali lancar seperti biasa kerana orang ramai beransur pulang ke destinasi masing-masing.

“Op Selamat 17 dijadualkan selama 10 hari dan akan tamat pada tengah malam ini, namun orang ramai dinasihatkan supaya terus mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelak kemalangan atau maut akibat kecuaian ketika memandu,” katanya.