Warga emas hilang dalam ladang sawit ditemukan selamat

Mangsa ditemukan selamat tanpa sebarang kecederaan dalam operasi mencari yang dijalankan sejak jam 6.30 petang. - Foto ihsan Bomba Perak
Mangsa ditemukan selamat tanpa sebarang kecederaan dalam operasi mencari yang dijalankan sejak jam 6.30 petang. - Foto ihsan Bomba Perak
A
A
A

LARUT - Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang lebih 11 jam di kawasan ladang kelapa sawit di Felda Ijok, Selama di sini ditemui selamat pada Ahad.

Mangsa, Abdullah Ibrahim, 74, ditemukan dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan pada jam 11.30 malam.

Ketua Polis Daerah Selama, Superintendan Mohd Sabri Saad berkata, mangsa pada awalnya keluar dari rumahnya sekitar jam 8 pagi untuk membaja pokok di ladang sawit miliknya dengan menunggang motosikal.

"Mangsa disedari hilang apabila sehingga jam 12 tengah hari, dia tidak pulang ke rumah menyebabkan anaknya keluar mencari.

"Pencarian awal bersama penduduk kampung dilakukan sekitar ladang berkenaan namun tidak menjumpai mangsa mahupun kenderaannya," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, gerakan mencari dilakukan melibatkan 33 pegawai dan anggota daripada polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta 30 penduduk kampung.

"Operasi dilaksanakan selepas menerima laporan polis pada jam 6.32 petang. Pasukan dipecahkan kepada empat kumpulan untuk mencari mangsa.

"Mangsa akhirnya ditemui dalam keadaan duduk di pangkal pokok sawit oleh pasukan penyelamat pada jarak kira-kira tiga kilometer dari ladang miliknya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Sabri berkata, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Selama untuk pemeriksaan perubatan dan operasi ditamatkan pada jam 12 tengah malam.