Hilang ketika berbasikal, mayat warga emas ditemui dalam tasik

Anggota bomba dan polis mengangkat mayat warga emas yang ditemui terapung dalam Tasik Biru di Bukit Gemilang, Kulai pada Rabu
Anggota bomba dan polis mengangkat mayat warga emas yang ditemui terapung dalam Tasik Biru di Bukit Gemilang, Kulai pada Rabu
A
A
A

KULAI - Misteri kehilangan seorang lelaki warga emas yang hilang semasa berbasikal di laluan hutan Taman Gemilang di sini pada Isnin, terjawab apabila mayatnya ditemui di sebuah tasik berhampiran pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kulai, Supritendan Tok Beng Yeow berkata, mayat Liew You Foo, 63, ditemui pada jam 11.55 pagi terapung di permukaan Tasik Biru, Bukit Gemilang berdekatan taman tersebut.

"Mangsa kemungkinan terjatuh ke dalam tasik biru berkenaan hasil daripada penemuan sepasang kasut berwarna merah di permukaan tasik pada jam 11.20 pagi.

"Mayat kemudian dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di sini untuk tujuan bedah siasat yang dijangka dilakukan pada petang ini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada Isnin, anak mangsa membuat laporan polis memaklumkan bapanya yang keluar rumah tidak pulang selepas jam 2 petang sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan pihak bomba dan polis.

Operasi dilakukan sekitar lima kilometer dari jalan utama sebelum pada jam 4.18 petang hari yang sama dan pasukan penyelamat menemui basikal serta topi mangsa di puncak Bukit Gemilang.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Penolong Penguasa Bomba Fairuz Helmi Mohd Ali berkata, pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa dengan menngunakan bot aluminium.

Katanya, seramai 19 anggota dari BBP Kulai dan BBP Skudai dibantu satu jentera, dua utiliti, satu kenderaan dan sebuah bot aluminium terlibat dalam SAR berkenaan.