Bila pengantin panik cari telur ayam

Gambar hiasan -Foto123rf
Gambar hiasan -Foto123rf
A
A
A

MUSIM orang kahwin, mesti nak buat bunga telur, tiba-tiba telur ayam tidak ada.

Nak buat bunga telur macam mana? Jujur, ini perasaan penulis yang sedang gusar jika telur ayam habis di semua tempat dan isu kekurangan sumber protein comel ini tidak selesai kerana saya memerlukannya dalam kuantiti banyak untuk bunga telur, hiasan pelamin.

Tetapi persiapan menyediakan bunga telur ini sedikit terganggu dek perasaan risau gara-gara isu kekurangan telur ketika ini.

Kisah penulis dengan telur ayam bermula kelmarin apabila misi mencarinya di tiga premis jualan sekitar Shah Alam tidak berhasil.

Kehabisan telur ayam bukan satu masalah biasa kerana ramai memerlukannya bukan sahaja untuk lauk harian tetapi bagi kegunaan lain termasuk menyediakan bunga telur.

Secara purata rakyat Malaysia menggunakan sekitar 30 juta biji telur ayam sehari. Ramai guna telur ayam!

Penulis baca di media, seorang wanita di Kerian, Perak terpaksa membeli stok bahan asas itu di Wangsa Maju untuk dibawa ke kampung gara-gara terputus bekalan telur ayam sejak seminggu lalu.

Seorang pemborong di Gopeng pula memberitahu, terpaksa mencatu bekalan telur ayam untuk memenuhi permintaan orang ramai kerana stok daripada pembekal berkurangan iaitu sekitar 3,000 hingga 9,000 biji telur sehari.

Artikel Berkaitan:

Kelihatan isu kekurangan telur ini seperti masalah kecil. Tidak ada telur, boleh makan sumber protein lain. Bukan begitu, misalnya masalah saya hadapi ketika ini berlaku cukup kebetulan kerana majlis persandingan berbaki kurang lima hari. Saya pula memerlukan bekalan telur yang banyak untuk membuat bunga telur dan beberapa hidangan lain untuk tetamu,

Di saat menjadi individu memerlukan telur ayam ketika ini, kekurangan stok satu perkara, dibimbangi harganya naik jadi masalah pertambahan kos asal membuat bunga telur.

Walaupun tidaklah masalah ini terlampau menekan namun awalnya risau juga jika tidak dapat berjimat bagi penyediaan bunga telur.

Jaminan kerajaan

Bagaimanapun, kata-kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri agak melegakan. Harga sebiji telur di bawah Skim Harga Maksima Keluarga Malaysia (SHMKM) iaitu harga runcit sebiji telur ayam di Semenanjung ialah 44 sen bagi gred A, 42 sen gred B dan 40 sen bagi gred C. Harga bagi Sabah, Sarawak serta Labuan pula bergantung kepada kawasan. Pelaksanaan harga ini berkuat kuasa 5 Februari hingga 5 Jun 2022.

Tidak perlu risau lagi kerana Perdana Menteri menyatakan demikian selepas mesyuarat khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL).

Ini kisah saya. Namun orang ramai boleh untuk tidak panik tahap melampau. Pegang saja kata-kata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang memberi jaminan bekalan telur ayam akan kembali stabil tempoh terdekat.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid mengatakan, pemantauan, pemeriksaan dan kutipan data membabitkan 50 syarikat mewakili 80 peratus pengeluaran telur ayam di negara ini sudah dibuat.

Punca pun diketahui kekurangan telur ayam disebabkan beberapa faktor termasuk peningkatan pembelian sebelum, semasa dan selepas cuti Tahun Baharu Cina yang dijadikan stok selain masalah logistik di ladang kerana cuti panjang.

Apapun menteri sendiri jamin, isu telur selesai pada minggu akhir Februari ini.

Unjuran pengeluaran telur ayam bagi Januari 2022 sudah dinyatakan adalah 839,882,296 biji.

Kembali kepada punca masalah yang perlu kita fikir balik. Peningkatan permintaan dan pembelian telur ayam mendadak sebelum, semasa serta selepas cuti Tahun Baharu Cina dikenalpasti punca gangguan bekalan telur ayam, kata Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam kelmarin.

Oh, ini puncanya. Tahun depan boleh bersedia supaya isu telur tidak berulang. Cuti umum sempena Tahun Baharu Cina, ramai ambil kesempatan mengadakan kenduri kahwin.

Jangan sampai bakal pengantin panik cari telur ayam.

*Anita Abu Hasan ialah Content Editor Web Sinar Harian