Perak sedia latihan TVET orang asli ikut demografi

Ahmad Saidi (kiri) turut meraikan tetamu yang hadir ke program Rewang GPMS Perak di Institut GPMS Perak, di sini pada Ahad.
Ahmad Saidi (kiri) turut meraikan tetamu yang hadir ke program Rewang GPMS Perak di Institut GPMS Perak, di sini pada Ahad.
A
A
A

BATU GAJAH - Kerajaan Perak menyediakan latihan kemahiran kepada orang asli menerusi Pemerkasaan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mengikut demografi masyarakat tersebut.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, pengkhususan latihan akan disesuaikan mengikut keperluan dan kawasan masyarakat orang asli tersebut.

Menurutnya, latihan kemahiran kepada orang asli yang dikendalikan Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) itu akan memberikan nilai tambah dan pengetahuan untuk mereka meningkatkan pendapatan.

"Kita cuba membuat pengkhususan berdasarkan demografi masyarakat orang asli di kawasan tersebut. Sebagai contoh di Sungai Tiang, Tasik Banding kita lihat di situ ada tarikan pelancong. Jadi kita telah bersetuju membuat latihan khusus kendalian Pasak iaitu kursus pengendalian bot dan membaiki enjin bot, sebab itu bidang yang diperlukan masyarakat orang asli di kawasan itu.

"Selain itu kita juga masyarakat orang asli di kawasan Tapah. Kita libat uruskan mereka bagi proses perniagaan dalam talian sebab kita melihat kebanyakan masyarakat di situ berminat dengan perniagaan dan mereka juga mempunyai rangkaian internet sangat baik," katanya kepada pemberita selepas hadir ke program Rewang Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Perak di Institut GPMS Perak, di sini pada Ahad.

Hadir sama pada majlis itu, Presiden GPMS, Mohd Alif Anas Md Noor; Presiden Majlis Belia Negeri Perak, Muhammad Puhaz Saleh dan Pengerusi GPMS Perak, Mohamad Faizal Haramaini.

Ahmad Saidi berkata, kerajaan negeri juga telah melaksanakan satu program TVET bagi mencungkil kebolehan dalam kalangan orang asli yang menjalankan perniagaan dan pertanian untuk berniaga di Pasar Kitak khusus untuk orang asli di perkarangan One Stop Center Orang Asli Bawong, Sungai Siput pada Januari lalu.

Menurutnya, pasar tersebut melibatkan 18 orang peniaga yang dikendalikan sepenuhnya oleh orang asli untuk memasarkan hasil pertanian dan kraftangan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, inisiatif tersebut diperkenalkan susulan mesyuarat Jawatankuasa TVET negeri Perak yang dipengerusikan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad pada 31 Januari lalu.

Menurutnya, selain orang asli, jawatankuasa itu juga memutuskan untuk memperkasa TVET dalam kalangan wanita di negeri ini melibatkan Pasak dengan kerjasama Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Perak (Wanita Perak).

"Mesyuarat juga bersetuju untuk kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor merapatkan jalinan hubungan kerjasama dengan semua pemain industri dan menambah bilangan pemain industri sedia ada kepada jumlah yang lebih besar.

"Tujuannya untuk kerajaan negeri membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada seluruh rakyat Perak. Setakat ini daripada semua pemain industri tersebut, hampir 20,000 kekosongan jawatan di Perak," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan pencari kerja di negeri ini untuk mendaftarkan diri dengan Pasak atau melalui laman web Talent Perak bagi melihat peluang yang sekali gus mengurangkan pengangguran di Perak.