Dua beranak diberkas tipu pakej perkahwinan

Polis
Polis
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua beranak termasuk seorang bapa diberkas pada Sabtu dipercayai terlibat dalam kes penipuan melibatkan urusan tempahan pakej perkahwinan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mahidisham Ishak berkata, pihaknya sebelum ini menerima laporan polis daripada seorang kerani yang telah ditipu dalam urusan tempahan pakej perkahwinan pada Mei lalu.

"Siasatan dijalankan mendapati mangsa seorang wanita berumur 24 tahun telah mendapatkan perkhidmatan perunding perkahwinan daripada sebuah syarikat.

"Mangsa berminat dengan tawaran pakej perkahwinan termasuk dewan, katering, pakaian pengantin pasangan serta jurugambar yang disediakan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, mangsa kemudian membuat pembayaran deposit berjumlah RM7,265.00 bagi perkhidmatan tersebut namun mendakwa tidak diberikan perkhidmatan yang dijanjikan.

Beliau berkata, hasil siasatan lanjut membawa kepada penahanan dua individu terbabit di Lembah Kelang.

"Kedua-dua suspek yang ditahan merupakan anak beranak terdiri daripada seorang bapa dan anak lelaki masing-masing berumur 57 tahun dan 25 tahun.

"Turut dirampas beberapa dokumen dan telefon bimbit milik kedua-dua suspek," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, hasil siasatan yang dijalankan, pihak polis mengesyaki ramai lagi mangsa yang terlibat dalam kes ini.

"Kedua-dua suspek direman empat hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Tipu).

"Polis masih mengesan dan meminta mangsa-mangsa yang terlibat untuk tampil membuat laporan polis.

"Peniaga dinasihatkan supaya tidak menawarkan perkhidmatan atau menjual barangan sekiranya tidak ada kemampuan dan tidak sewenang wenangnya menggunakan alasan pandemik Covid-19 kepada pelanggan jika gagal untuk menunaikan janji mereka," ujarnya.