Sila log masuk terlebih dahulu.

Vaksinasi kanak-kanak di Pulau Pinang mula esok

Pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) itu merupakan yang pertama melibatkan kanak-kanak di negeri ini. - Foto 123RF
Pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) itu merupakan yang pertama melibatkan kanak-kanak di negeri ini. - Foto 123RF
A
A
A
GEORGETOWN- Proses vaksinasi bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Pulau Pinang akan bermula pada Isnin di dua pusat pemberian vaksin (PPV) yang disediakan.

Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar serta Kesihatan, Dr Norlela Ariffin berkata, vaksinasi itu untuk mereka yang mempunyai komorbid atau tergolong dalam kalangan yang berisiko tinggi.

Katanya, pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) itu merupakan yang pertama melibatkan kanak-kanak di negeri ini.

"Vaksinasi untuk kanak-kanak berusia lingkungan lima hingga 11 tahun di Pulau Pinang akan bermula esok. Ia hanya untuk mereka yang mempunyai beberapa penyakit (komorbid) atau berisiko tinggi.

"Dua buah PPV sahaja dibuka untuk proses vaksinasi bagi golongan ini iaitu di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan Hospital Seberang Jaya (HSJ). Hospital-hospital lain tidak terlibat," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Tambahnya, untuk kanak-kanak yang tiada penyakit, mereka akan disuntik sama ada di Klinik Kesihatan atau di sekolah.

"Hanya kanak-kanak yang mempunyai penyakit dan berisiko tinggi sahaja bermula esok (Isnin).

"Sementara itu, populasi kanak-kanak dalam kalangan usia berkenaan di negeri ini adalah berjumlah 160,000," katanya.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan Pihak Berkuasa Ubat-ubatan (DCA) meluluskan penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

Artikel Berkaitan:

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, KKM pada ketika ini sedang mengadakan perbincangan dengan pihak pengeluar vaksin itu berhubung jadual penghantaran.

Sementara itu, Norlela berkata, dua lagi kluster pendidikan dilaporkan di Pulau Pinang sehingga Sabtu menjadikan jumlah keseluruhan 12 kluster aktif ketika ini.

"Dua kluster baru itu adalah Bandar Putra Bertam iaitu Madrasah Al-Aminiah Bertam Tahfiz Vokasional di Seberang Perai Utara dan kluster Jalan Bukit Minyak Dua iaitu Kolej Vokasional Seberang Perai di Seberang Perai Tengah.

"Mengenai taburan kes Covid-19 melibatkan pendidikan, sebanyak 60 buah sekolah rendah dan menengah dengan 12 kluster direkodkan setakat ini," katanya.