PJS pertimbang entiti baharu sepak takraw Malaysia

Ibrahim
Ibrahim
A
A
A

PEJABAT Pesuruhjaya Sukan (PJS) sedia mempertimbangkan entiti baharu yang bakal mengambil alih peranan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) di peringkat antarabangsa pada masa akan datang.

Itu nada tegas disuarakan Pesuruhjaya Sukan, Ibrahim Mohd Yusof selepas melihat situasi semasa berkenaan kemelut antara PSM dan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).

“PJS telah menerima surat daripada ASTAF yang menyatakan pendirian untuk tidak lagi menerima PSM sebagai ahli gabungannya. Ia susulan tindakan PSM yang berterusan melanggar beberapa perkara termaktub dalam hukuman selepas PSM disingkirkan daripada ASTAF.

“Selepas meneliti perkembangan perkara itu secara keseluruhan, PJS berpendapat bahawa pembangunan sukan sepak takraw pada masa depan akan terjejas jika tidak ditangani dengan segera.

“Penglibatan dan pembangunan di peringkat antarabangsa perlu diberi penekanan. Jadi penubuhan satu lagi entiti sepak takraw mewakili Malaysia wajar diberi pertimbangan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Ibrahim berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terkini berhubung permohonan penubuhan sebuah entiti baharu oleh enam ahli gabungan PSM sebelum ini.

Ahli gabungan terbabit ialah Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS), Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Putrajaya (Pestap), Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS) dan Persatuan Sepak Takraw Perlis (PSTPs), Persatuan Sepak Takraw Negeri Kedah (Pestak), Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Labuan.

Terdahulu, kesemua enam ahli gabungan itu telah mengemukakan permohonan kepada PJS untuk menubuhkan satu entiti baharu yang dinamakan Konfederasi Sepak Takraw Malaysia atau Malaysian Sepak Takraw Confederation (MSC).

Artikel Berkaitan:

“Saya sudah menerima pengesahan persetujuan dan sokongan daripada enam persatuan negeri itu untuk penubuhan entiti baharu yang menggunakan nama MSC.

“Dengan pendirian ASTAF, PJS melihat terdapat keperluan mewujudkan entiti (baharu) yang akan menaungi sukan sepak takraw Malaysia di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Ketika ditanya impak status terkini ASTAF itu, Ibrahim berkata, PSM kini tidak boleh lagi dianggap badan pengelola yang mewakili Malaysia dalam sukan sepak takraw.

“Tanpa pengiktirafan daripada pihak ASTAF, tiada apa boleh dilakukan sekalipun kepimpinan baharu PSM dibentuk nanti. Namun, PSM masih boleh melaksanakan aktivitinya selagi berdaftar di bawah Akta 576,” jelasnya.