Dua buruh diberkas bersama syabu, pil kuda

Antara barangan dirampas dalam serbuan polis, pada awal pagi Sabtu.
Antara barangan dirampas dalam serbuan polis, pada awal pagi Sabtu.
A
A
A

PASIR MAS – Dua buruh lelaki diberkas bersama dadah jenis syabu dan pil kuda bernilai hampir RM38,000 dalam serbuan polis, pada awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, dalam serbuan pada jam 1.20 pagi itu, dua lelaki berusia 36 dan 38 tahun tersebut didapati berada di bahagian dapur sebuah premis tanpa nombor di Kampung Repek dalam keadaan mencurigakan.

“Apabila menyedari kedatangan kami, mereka melarikan diri dan berlaku pergelutan sebelum tangkapan. Semasa suspek kedua melarikan diri, dia mencampakkan sesuatu di tepi jalan.

“Hasil siasatan mendapati, ia merupakan satu beg hitam mengandungi satu plastik berwarna oren yang mengandungi 385 biji pil kemerahan disyaki dadah dan enam plastik lutsinar setiap satu berisi ketulan kristal disyaki dadah.

“Pihak kami kemudian menemui beg silang warna hitam milik suspek pertama yang tergantung di dinding bahagian dapur dan di dalamnya berisi satu plastik diisi 190 biji pil kemerahan disyaki dadah,” katanya kepada Sinar Harian, pada Sabtu.

Menurutnya, menerusi serbuan pertama itu, polis menemui 575 biji pil kuda dan 3.06 gram syabu dengan nilai keseluruhan sebanyak RM8,975 dan dua-dua suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

Beliau berkata, kedua-dua suspek mengakui dadah ditemui adalah milik mereka dan mendapat bekalan berkenaan daripada seorang lelaki dikenali dengan nama ‘Along’ yang dipercayai tinggal di Tumpat.

“Berdasarkan maklumat berkenaan, serbuan kedua dilakukan dengan dipandu arah suspek pertama pada hari sama ke sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Bunut Sarang Burung Wakaf Bharu, Tumpat.

Artikel Berkaitan:

“Dengan dipandu arah oleh suspek, dia telah membuka kunci pintu hadapan rumah tersebut dan membawa pihak polis ke bahagian dapur rumah dan menunjukkan satu bekas plastik lutsinar berpenutup di atas kabinet bahagian dapur.

“Pemeriksaan di dalam bekas plastik lutsinar tersebut mengandungi satu beg plastik lutsinar mengandungi enam peket plastik yang masing-masing diisi dengan ketulan kristal disyaki dadah. Hasil pemeriksaan keseluruhan kami menemui 306 gram syabu bernilai RM30,000,”katanya.

Menurut Mohd Nasaruddin, suspek pertama yang berasal dari Taman Lubok Jong mempunyai enam rekod lampau manakala suspek kedua dari Kampung Telaga Nibong mempunyai 12 rekod lampau.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(2), Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Individu yang bernama ‘Along’ itu juga telah ditangkap di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.