Jalan berkembar tertinggi di Malaysia ditakungi air

Petugas MBPP mengutip daun-daun kering dan sampah sarap yang menghalang laluan air keluar dari sistem perparitan dengan sempurna.
Petugas MBPP mengutip daun-daun kering dan sampah sarap yang menghalang laluan air keluar dari sistem perparitan dengan sempurna.
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus) yang dikenali sebagai Jalan berkembar tertinggi di Malaysia ditakungi air selepas hujan lebat, pada petang Sabtu.

Video berdurasi 10 saat mengenai kejadian itu tular di laman sosial dan mendapat kecaman ramai malah ada yang melahirkan kekecewaan apabila projek bernilai RM378.2 juta tidak mempunyai sistem saliran yang baik.

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) melalui laman Facebook rasmi memaklumkan, Pusat Intelligent Operations Centre MBPP melaporkan bahawa pada jam 6.30 petang pada Sabtu, berlakunya takungan air di bahagian penghujung Jejantas Bukit Kukus menghala ke Jalan Tun Sardon.

Menurut MBPP, takungan air itu adalah disebabkan hujan lebat di kawasan tersebut.

"Siasatan telah dibuat dan mendapati bahawa terdapat daun-daun kering dan sampah sarap menghalang laluan air keluar dari sistem perparitan dengan sempurna.

"Kerja-kerja pembersihan telah dilaksanakan segera dan laluan tersebut kembali sempurna dan selamat digunakan oleh orang awam," menurut MBPP.

Dalam pada itu, MBPP berharap semua orang awam dapat bersama-sama mengambil tanggungjawab menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah sewenang-wenangnya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan sikap segelintir masyarakat yang suka membuang sampah di Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus) amat dikesali.

Artikel Berkaitan:

Pada 13 Januari lalu, Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus) Fasa Satu di sini yang bernilai RM378.2 juta dibuka secara rasmi kepada orang ramai.

Projek tersebut adalah lebuh raya tertinggi di Malaysia dengan ketinggian 61.5 meter selain menyediakan lorong basikal di sepanjang jalan berkembar tersebut.

Projek sepanjang 3.825 kilometer (km) itu merupakan laluan alternatif kepada kira-kira 60,000 penduduk di kawasan Paya Terubong dan Air Itam untuk berhubung ke kawasan Bukit Jambul, Bukit Gambir, Balik Pulau dan kawasan sekitarnya.