Perlombongan tak diteruskan jika beri kesan negatif: MB Perak

Saarani (tiga dari kanan) menyampaikan Anugerah Sahabat AIM Perak selepas Program Bersama Sahabat AIM di Laman Seri Ridzuan di sini pada Sabtu.
Saarani (tiga dari kanan) menyampaikan Anugerah Sahabat AIM Perak selepas Program Bersama Sahabat AIM di Laman Seri Ridzuan di sini pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak tidak sewenang-wenangnya meluluskan sebarang aktiviti pembalakan dan perlombongan di kawasan Hutan Simpan (HS) Kenderong jika memberi kesan negatif kepada rakyat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, semua aktiviti itu juga perlu mendapatkan kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar (EIA) sebelum diteruskan.

Menurutnya, kerajaan negeri mengambil maklum semua pandangan berkaitan isu tersebut termasuk Sahabat Alam Malaysia (SAM).

"Kita menghormati pandangan SAM. Saya juga akan mendapatkan maklumat khusus mengenai perkara ini daripada Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc). Bukan senang untuk melaksanakan operasi perlombongan. Jika lesen dikeluarkan, mereka perlu mendapatkan EIA.

"Kelulusan tidak diberikan jika kawasan itu merupakan sensitif alam sekitar. Ketika ini juga sedang dilaksanakan sesi pendengaran awam mengenai prosedur operasi standard (SOP) Perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli," katanya kepada pemberita selepas Program Bersama Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Laman Seri Ridzuan, di sini pada Sabtu.

Saarani berkata demikian sebagai mengulas kenyataan SAM yang membantah aktiviti tersebut kerana dikhuatiri menjejaskan sumber air di Sungai Perak.

Menurutnya, perbincangan juga akan dilakukan bersama Jabatan Perhutanan Perak bagi mengetahui status HS berkenaan sama ada HS pengeluaran atau hutan simpan kekal.

Mengenai dakwaan SAM bahawa aktiviti tersebut akan mencemarkan air seperti yang berlaku pada tahun 2019 di loji air Ganda, beliau menegaskan kerajaan negeri mengambil serius perkara tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Kalau betul (akan menyebabkan pencemaran), kita pun tidak mahu rakyat terkesan. Jadi kita tidak akan membiarkan rakyat terdedah risiko pencemaran," katanya.

Pada Jumaat, SAM meluahkan kebimbangan mengenai projek pembalakan dan perlombongan bijih timah di HS Kenderong, mukim Kerunai, Gerik yang dibimbangi mencemarkan sumber air Sungai Perak.

Presiden SAM, Meenakshi Raman berkata, kawasan hutan seluas 245 hektar telah dinyahwartakan daripada HS Kenderong untuk tujuan pelaksanaan projek tersebut yang dicadangkan oleh sebuah syarikat perlombongan.

Tapak tersebut juga terletak di kawasan wilayah Rangkaian Utama-8 dalam Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (CFS) yang merupakan kawasan habitat spesies hidupan liar terancam dan hampir pupus seperti gajah, harimau, tapir dan beruang matahari.

Cadangan projek perlombongan di lokasi seperti itu dibimbangi akan memburukkan lagi konflik antara manusia dengan hidupan liar yang semakin serius di negara ini.