Rakyat Hakim PRU15 diasaskan aktivis masyarakat

Gambar dari kiri: Basir, Syed Araniri
Gambar dari kiri: Basir, Syed Araniri
A
A
A

ALOR SETAR - Sebuah pertubuhan aktivis, Front Rakyat Hakim PRU15 atau dikenali dengan Rakyat Hakim PRU15 tampil mewarnai politik negara, dianggotai oleh aktivis masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Rakyat Hakim PRU15, Basir Ismail berkata, ia diasaskan susulan daripada lima senario, antaranya konflik politik yang didakwa menggugat kestabilan negara akibat perebutan kuasa yang tidak berkesudahan oleh pemimpin dan parti politik.

Menurutnya, badan itu tidak didaftarkan sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun parti politik, sebaliknya merupakan sebuah gerakan berorientasikan semasa untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Kami tampil bersama suara rakyat kerana berlaku ketidakstabilan politik yang membawa impak negatif dalam pertumbuhan ekonomi, urus tadbir negara, ketidaktenteraman masyarakat serta merencatkan pembangunan negara,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Basir memaklumkan, bekas Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perlis yang juga Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Perlis, Syed Araniri Syed Ahmad Al Idrus dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemandu.

Menurutnya, Rakyat Hakim PRU15 tidak cenderung menyertai mana-mana parti politik dan mengambil prinsip berkecuali, namun terbuka bekerjasama dengan mana-mana pihak sama ada parti politik kerajaan, pembangkang, NGO atau persatuan komuniti masyarakat, selagi mengutamakan kepentingan rakyat dan negara.

“Kami tidak bermusuhan dengan mana-mana parti politik, NGO atau rakyat. Kesemua ini adalah rakan strategik dalam membangunkan struktur politik dan sistem demokrasi yang harmonis, demi masa depan rakyat dan negara,” katanya.

Menurut bekas ahli Pas Kedah ini, pihaknya mendokong budaya politik matang, profesional dan menghormati kepelbagaian idealisme serta pandangan semua pihak tanpa prejudis bagi menghindari permusuhan dan perpecahan politik atau menimbulkan ketegangan dalam masyarakat.

Artikel Berkaitan:

“Kami menolak amalan politik ekstrim atas agenda perkauman, agama dan ideologi yang tidak serasi dengan latar belakang masyarakat majmuk, selain menentang amalan politik gila kuasa, politik fitnah, politik rasuah serta politik kebencian.

“Keghairahan pemimpin politik wujudkan pelbagai parti politik baharu akibat pergeseran dalaman parti politik asal memualkan rakyat. Ia adalah manifestasi perebutan kuasa yang semakin meruncing dalam negara, malah parti dijadikan alat tawar menawar untuk berebut kedudukan dan jawatan,” katanya lagi.

Basir tegaskan, konflik politik yang tiada kesudahan menyebabkan kepercayaan rakyat terhadap pemimpin dan parti politik turut merosot.

“Insiden lompat parti ahli Parlimen beri kesan mendalam kepada rakyat berkaitan keboleh percayaan kepada pemimpin dan parti politik. Ramai kalangan pemimpin terpalit skandal penyalahgunaan kuasa, rasuah, penyelewengan dan tidak bermoral.

“Disebabkan itu, kami sokong wujudnya blok Ahli Parlimen Bebas sebagai semak dan imbang kepada blok kerajaan dan pembangkang, bagi menampung kelemahan kedua-dua blok terbabit di Parlimen,” ujarnya.

Oleh itu, Rakyat Hakim PRU15 berpendapat wajar untuk rakyat membuat perubahan menggantikan ahli Parlimen dan pemimpin yang menimbulkan pelbagai masalah dalam negara.

“Jangkaan parti-parti politik akan bergabung membentuk kerajaan campuran pasca PRU15 depan, natijahnya dominasi struktur dan kuasa politik masih kekal di tangan orang lama dan sama. Bezanya dari segi jenama dan konsep, sedangkan permasalahan negara berpunca daripada sikap dan tindak tanduk pemimpin sedia ada,” katanya.

Basir berkata, kuasa undi menerusi Rakyat Hakim PRU15 akan menyingkirkan calon parti politik yang terkait skandal rasuah dan penyalahgunaan kuasa, rendah moral, lompat parti, ekstremis, serta tidak efektif ketika dalam dan luar Parlimen.

“Kita menghantar mesej jelas kepada kerajaan mahupun pembangkang bahawa rakyat mempunyai alternatif memilih calon PRU15. Oleh itu, parti politik jangan angkuh mengekalkan calon bertanding kalangan individu tidak berintergriti, terpalit rasuah dan penyalahgunaan kuasa, lompat parti atau tidak kompeten akan disingkirkan pengundi.

“Rakyat sahaja dapat merawat kegawatan politik dan mengembalikan kestabilan politik negara. Kami mengajak seluruh rakyat, khususnya kelompok tidak berparti, NGO, persatuan, komuniti masyarakat, anak muda menjayakan kesepakatan memilih pemimpin berdasarkan penilaian matang, bebas dan tidak terikat dengan parti politik,” katanya lagi.

Menurutnya, Jawatankuasa Pemandu Rakyat Hakim PRU15 yang bersidang 31 Januari mengambil ketetapan mengembeling potensi rakyat sebagai wadah perjuangan berteraskan kesedaran bersifat inklusif dan bebas politik kepartian.

“Kami akan sokong dasar, undang-undang, penggunaan perbelanjaan wang negara, hak asasi manusia dan program yang beri faedah kepada rakyat, teguran serta cadangan penambahbaikan akan dibuat jika berlaku sebaliknya.

“Ini termasuk perjuangkan dasar afirmatif atas prinsip Maqasid Syariah, keadilan sosial, ekonomi, undang-undang dan hak asasi manusia. Selain mendokong demokrasi Raja Berperlembagaan, hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta Rukun Negara sebagai asas kehidupan masyarakat majmuk,” katanya.