Exco Perak positif Covid-19

Maklumat mengenai keadaan kesihatan Razman dikongsi Fairuz Hafiizh menerusi Facebook pada Jumaat.
Maklumat mengenai keadaan kesihatan Razman dikongsi Fairuz Hafiizh menerusi Facebook pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak yang juga Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria disahkan positif Covid-19.

Setiausaha Politiknya, Fairuz Hafiiz Othman yang memaklumkan perkara tersebut menjelaskan ia berdasarkan keputusan ujian saringan yang dikeluarkan Bahagian Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Negeri Perak pada Jumaat.

Menurutnya, Razman mengalami beberapa simptom pada Rabu lalu dan membuat tiga kali pemeriksaan kendiri dengan dua daripadanya menunjukkan keputusan positif virus tersebut.

"Sebagai langkah berjaga-jaga beliau telah menjalankan kuarantin kendiri dan membuat swab test dengan pusat Kesihatan Awam di Ipoh pada 3 Februari. Keputusan yang dikeluarkan hari ini mengesahkan beliau positif Covid-19 dan wajib melaksanakan kuarantin sehingga 8 Februari. Perkembangan selepas tarikh itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

"Walaupun keadaan kesihatan beliau adalah baik, namun semua program yang melibatkan beliau ditangguhkan susulan perintah kuarantin wajib. Pihak yang berkaitan dipohon menghubungi pejabat Exco Perladangan, Pertanian dan industri Makanan untuk penjadualan semula aktiviti membabitkan beliau," katanya menerusi satu kenyataan di Facebook pada Jumaat.

Dalam pada itu, Fairuz Hafiiz yang juga Setiausaha Pas Perak berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol itu juga memohon maaf di atas kesulitan yang timbul disebabkan perkara tersebut.

Menurutnya, mana-mana individu yang merupakan kontak rapat Razman sebelum ini dan mengalami simptom dinasihatkan supaya melakukan pemeriksaan kendiri Covid-19.

"Beliau mengharapkan doa dari semua rakyat negeri Perak agar diberi kesihatan bagi meneruskan tugas mengangkat industri Pertanian negeri Perak.

Artikel Berkaitan:

"Beliau juga berdoa agar semua warga Perak terhindar dari sebarang musibah dan menasihatkan semua agar terus menjaga kesihatan dan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berwajib," katanya.