Nafi abai penggiat industri pelancongan, Exco Perak sedia semuka

Sze Yee
Sze Yee
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak tidak pernah mengetepikan mana-mana penggiat industri pelancongan di negeri ini sama ada untuk mengadakan pertemuan mahu pun mendapatkan dana.

Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, dakwaan konon pihaknya kurang prihatin dengan penggiat pelancongan di negeri ini adalah tidak berasas.

Menurutnya, sebarang masalah berbangkit berkaitan pelancongan sepatutnya dimaklumkan secara bersemuka dan bukan melalui kritikan melalui media.

"Sekiranya betul-betul mempunyai masalah, biar kita bersemuka. Jadi jemput mana-mana pemain industri ada masalah, boleh jumpa kita. Kita terima dengan tangan terbuka, jadi itu sahaja," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Pengerusi Persatuan Pengusaha Pelancongan Bumiputera Perak, Zamari Muhyi menerusi laporan sebuah portal berita mendakwa pemain industri pelancongan Perak berasa terabai dengan sikap kurang prihatin Sze Yee.

Sementara itu, Sze Yee menjelaskan, setakat ini tiada sebarang permohonan dikemukakan oleh persatuan berkenaan untuk sebarang dana daripada kerajaan negeri.

Menurutnya, tiada sebarang peruntukan disalurkan secara automatik kepada mana-mana persatuan tanpa permohonan.

Jelas beliau, setiap permohonan dana mesti mengemukakan kertas kerja untuk dipertimbangkan sebelum dana disalurkan.