Penganggur ditemukan mati dipercayai terlibat gaduh berkaitan dadah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MERSING - Seorang penganggur ditemukan mati, dipercayai terlibat dalam satu pergaduhan berkaitan dadah, di hadapan sebuah rumah di Jalan Dato Onn, Mersing Kanan di sini, pagi Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor, Senior Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian pergaduhan itu pada pukul 7.20 pagi yang membawa kepada penemuan mayat lelaki tempatan berusia 37 tahun itu dalam keadaan terbaring di lokasi berkenaan, beberapa minit kemudian.

"Berpandukan kamera litar tertutup (CCTV) di rumah berdekatan, kejadian berlaku antara 7.15 pagi hingga 7.21 pagi dan menurut dua saksi, mangsa diserang tiga lelaki bersenjatakan dipercayai sebatang rotan selain dipukul di tangan dan kaki.

"Berdasarkan pemeriksaan awal polis bersama petugas kesihatan dari Hospital Mersing mendapati mangsa disahkan mati di tempat kejadian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Mersing, di sini pada Khamis.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru untuk proses bedah siasat.

Shahurinain berkata, siasatan awal mendapati selepas mangsa dipukul, ketiga-tiga individu itu melarikan diri dengan menaiki sebuah kenderaan jenis Proton Iswara dan berdasarkan pemeriksaan awal terhadap mayat si mati mendapati ada kesan pukul di belakang leher dan kecederaan pada leher.

Susulan itu, polis menahan dua buruh berumur 31 dan 32 tahun di Taman Kota Jaya, Kota Tinggi kira-kira pukul 3.15 petang bagi membantu siasatan.

Menurut beliau, kedua-dua lelaki tempatan itu mempunyai rekod jenayah lampau termasuk dadah, manakala si mati mempunyai 11 rekod lampau iaitu lapan dadah dan tiga jenayah.

Artikel Berkaitan:

"Si mati berasal dari Penyabong, baru sebulan bebas dari penjara atas kesalahan jenayah dan terima hukuman tiga bulan penjara. Setelah bebas, dipercayai tidak balik ke kediamannya kerana berdasarkan maklumat daripada keluarga, si mati mahu mencari kerja,” katanya.

Shahurinain berkata dua lelaki berkenaan akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi esok (Jumaat), bagi mendapatkan permohonan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, polis kini giat mencari dua lagi lelaki bagi membantu siasatan kes berkenaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut, boleh menghubungi balai polis berhampiran. - Bernama