'Jangan gugat ketenteraman di Sabah' - Komander ESSCom

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran kepada mana-mana pihak untuk tidak sesekali menggugat keamanan dan kedaulatan Negeri Sabah.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), Deputi Komisioner Hamzah Ahmad berkata, tahap keselamatan di pantai timur Sabah adalah dalam keadaan aman dan terkawal.

"Tiada ancaman diterima daripada pihak luar. Jika ada maklumat, kita akan teliti bagi memastikan kesahihannya.

"Petugas keselamatan sentiasa bersiap sedia 24 jam bagi mengawal keselamatan daripada sebarang bentuk pencerobohan anasir luar," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata, Sabah adalah negeri berdaulat dan pihaknya memberi amaran kepada mana-mana pihak usah sesekali mencetuskan perkara tidak diingini kerana PDRM akan mempertahankan sehingga ke titisan akhir.

"Kita membuat kawalan 100 peratus dan dia (Abu Sayyaf) usah berani cabar kita.

"Kita akan pertahankan Sabah sehingga ke titisan akhir," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau amat menyambut baik kenyataan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali yang akan mempertingkatkan tahap keselamatan di pantai timur Sabah dengan menggerakkan satu pasukan komando Unit Tindakan Khas (UTK) bagi menangani isu berkaitan kumpulan Abu Sayyaf.

Artikel Berkaitan:

Kata Hazani, tindakan itu bagi menunjukkan kehadiran anggota keselamatan di kawasan berkenaan termasuk di sempadan Sabah-Kalimantan.