[VIDEO] ESSCom patahkan kegiatan kumpulan ajaran 'Wali Tujuh'

Antara barang yang dirampas termasuk tangkal dalam serbuan di sebuah rumah pekerja Ladang Bukit Kertam, Kota Kinabatangan pada malam Selasa.
Antara barang yang dirampas termasuk tangkal dalam serbuan di sebuah rumah pekerja Ladang Bukit Kertam, Kota Kinabatangan pada malam Selasa.
A
A
A

KINABATANGAN - Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) menahan tiga lelaki yang merupakan pendatang asing tanpa izin disyaki terlibat dengan kegiatan ajaran meragukan 'Wali Tujuh' pada malam Selasa.

Komander ESSCom, Deputi Komisioner Hamzah Ahmad berkata, suspek ditangkap dalam satu serbuan oleh ESSCom di sebuah rumah pekerja Ladang Bukit Kertam, Kota Kinabatangan di sini.

"Individu tersebut ditahan untuk siasatan lanjut oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan kerana disyaki terlibat dengan kegiatan ajaran meragukan dikenali sebagai 'Wali Tujuh'.

"Beberapa barang peribadi milik seorang daripada individu terbabit antaranya kalendar ramalan, pisau, senjata jenis lastik dan pelbagai tangkal telah dirampas," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Menurut Hamzah, berdasarkan risikan awal, kumpulan itu diketuai oleh seorang guru dibantu dua individu dan mula bergiat aktif sejak tiga bulan lepas dengan membawa ajaran ilmu batin dan kebal yang telah berkembang pantas serta menarik minat penyertaan pekerja ladang, khususnya warga asing di sekitar Lahad Datu dan Kinabatangan.

Menurutnya, setakat ini, kumpulan tersebut mempunyai seramai 20 orang pengikut terdiri daripada warga asing yang merupakan pekerja ladang di sekitar daerah tersebut.

"ESSCom ingin menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan ajaran atau dakyah baharu yang boleh menimbulkan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat setempat.

"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu dan kumpulan yang sengaja mengganggu-gugat ketenteraman awam dan keselamatan di ESS Zone," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: