KWP teliti kajian had laju di ibu negara

Shahidan menaiki bas ‘double decker’ KL Hop-On Hop-Off (HOHO) dan mengibarkan bendera Wilayah Persekutuan di sekitar Kuala Lumpur pada Khamis. - Foto Bernama
Shahidan menaiki bas ‘double decker’ KL Hop-On Hop-Off (HOHO) dan mengibarkan bendera Wilayah Persekutuan di sekitar Kuala Lumpur pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) sedang meneliti hasil kajian berhubung cadangan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mengenai pelaksanaan had laju 30 kilometer sejam (km/j) dalam zon terpilih sekitar ibu negara serta 50 km/j di zon yang lain.

Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, kajian yang dibuat itu mengambil kira kepentingan semua pihak sebelum dimuktamadkan dan diumumkan dalam masa terdekat.

"Kami tahu banyak benda (perkara) yang dibuat pasti ada sahaja yang setuju atau tidak, tapi kami melihat juga pada kesesuaian penerimaannya daripada semua pihak.

"Oleh itu, pelaksanaannya nanti sudah pasti akan berlaku pelbagai pandangan. Apa yang penting, matlamatnya tercapai dan rakyat gembira untuk melaksanakannya," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan ke-18 di sini pada Khamis.

Sebelum ini, Pengerusi Lembaga Pengarah MIROS Datuk Suret Singh melalui ciapan di Twitternya memaklumkan pihaknya dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan bekerjasama bagi melaksanakan had laju 30km/j di zon terpilih di ibu negara dan 50km/j bagi zon lain.

MIROS mencadangkan had laju 30km/j bagi kawasan perumahan, bandar dan kampung sebagai sebahagian daripada perancangan keselamatan jalan raya kebangsaan untuk 2021 hingga 2030.

Cadangan had laju itu juga sebahagian daripada kempen 'Street for Life' di bawah Minggu Keselamatan Jalan Raya Global PBB ke-6 (UNGRSW), yang menyasarkan pemberdayaan komuniti di Asia Tenggara untuk melaksanakan had 30 km/j di kawasan pejalan kaki bercampur dengan trafik.

Sementara itu, Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan tahun ini dimeriahkan dengan kibaran lebih 100,000 bendera Wilayah Persekutuan membabitkan 71,000 bendera di Kuala Lumpur, 15,530 bendera di Putrajaya dan 18,000 bendera di Labuan dipasang di kawasan utama seperti jalan-jalan protokol, premis perniagaan, pejabat bangunan kerajaan dan kawasan perumahan rakyat.

Shahidan berkata, pusat beli-belah seperti Pavilion KL, Suria KLCC dan Mid Valley Megamall dipilih kerana menjadi lokasi utama yang dikunjungi warga Wilayah Persekutuan serta mereka yang tinggal di negeri berdekatan sekali gus menggalakkan aktiviti pelancongan.

Artikel Berkaitan:

"Kempen ini khususnya bagi meningkatkan rasa cinta dan sayang serta 'sense of belonging' kepada warganya dan kejayaan ini dapat menonjolkan imej masyarakat yang harmoni, prihatin, maju dan sejahtera," katanya.- Bernama