Fobia apabila lihat langit mendung

Suasana langit yang mendung kini menimbulkan rasa resah, takut dan fobia kepada segelintir masyarakat apatah lagi apabila pelbagai bencana alam melanda negara tanpa henti sejak hujung tahun lalu. Gambar hiasan 123RF
Suasana langit yang mendung kini menimbulkan rasa resah, takut dan fobia kepada segelintir masyarakat apatah lagi apabila pelbagai bencana alam melanda negara tanpa henti sejak hujung tahun lalu. Gambar hiasan 123RF
A
A
A

SUASANA langit yang mendung kini menimbulkan rasa resah, takut dan fobia kepada segelintir masyarakat apatah lagi apabila pelbagai bencana alam melanda negara tanpa henti sejak hujung tahun lalu.

Mukadimah bencana alam di Malaysia dimulakan dengan banjir besar melanda Selangor pada Disember lalu terutama di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di Shah Alam; Kampung Bukit Changgang, Banting dan sekitar kawasan Hulu Langat.

Disangka langit kembali cerah selepas hujan, rupanya negara sekali lagi digegarkan dengan fenomena tiupan ribut dan fenomena hujan batu yang melanda beberapa kawasan di Selangor dan Perak baru-baru ini.

Ibarat jatuh ditimpa tangga, mangsa banjir di Kampung Kebun Bunga, Batu Tiga di Shah Alam yang baru mahu pulih daripada trauma musibah banjir, kini bumbung rumah mereka pula diterbangkan angin pada Khamis lalu dan terpaksa tidur ‘beratapkan' langit.

Semua bencana alam yang melanda tanpa henti ini membuatkan penulis mula mempersoalkan cara pengurusan bencana di peringkat negeri mahupun Persekutuan khususnya Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) ketika berdepan musibah seperti itu.

Sebagai langkah awal menghadapi kemungkinan bencana alam, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) baru-baru ini turut memberikan pelbagai ramalan cuaca dan bencana buruk seperti ribut serta hujan lebat yang diramalkan melanda beberapa buah negeri di Malaysia.

Tidak cukup dengan itu, Pengarah Kanan Pusat Instrumentasi Meteorologi dan Sains Atmosfera Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Ambun Dindang berkata, kejadian puting beliung yang melanda Perak baru-baru ini juga boleh berlaku di Kedah dan Pulau Pinang.

Menurutnya, fenomena tersebut turut melibatkan negeri lain di kawasan Pantai Barat Semenanjung seperti Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan, tidak terkecuali Sabah dan Sarawak.

Artikel Berkaitan:

Oleh itu, pihak-pihak berkenaan perlu melakukan sesuatu dengan membuat persiapan rapi bagi menghadapi situasi yang sudah diramal berlaku dengan segala aset yang ada.

Sebagai contoh di Selangor, kerajaan negeri akan menubuhkan jawatankuasa khas perubahan iklim negeri bagi mengurus dan mendepani segala kemungkinan termasuk bencana akibat perubahan iklim.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian diberi tanggungjawab mengetuai jawatankuasa tersebut dengan memanggil tokoh akademik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar untuk mendepani sebarang kemungkinan.

Contoh lain, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor bersedia dari segi kekuatan anggotanya yang turut mendapat kerjasama daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk menghadapi situasi tidak diduga.

Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya akan meronda kawasan yang kerap dinaiki air dan lokasi titik panas lain apabila hujan memandangkan cuaca buruk kali ini lebih kerap dan teruk berbanding tahun lalu.

Selain segala persiapan tersebut, penulis juga berharap kerajaan Persekutuan dan negeri menyediakan peruntukan sebaiknya untuk membantu mangsa-mangsa yang terlibat dalam bencana.

Ini kerana, dalam kejadian bencana yang tidak diduga, jumlah kerosakan juga tidak dapat diramalkan dengan pengurusan agihan bantuan yang lebih sistematik dan ‘mesra mangsa’.

‘Mesra mangsa’ ialah tidak perlu melalui prosedur rumit untuk mendapatkan bantuan, sebaliknya proses permohonan yang mudah tatkala mangsa berdepan tekanan emosi.

Bukan apa, penulis mendapati masih ramai mangsa banjir khususnya di Selangor yang masih belum menerima bantuan dijanjikan walaupun bencana tersebut sudah berlalu lebih sebulan lalu.

Amat penting kepada semua pihak mengambil iktibar daripada musibah yang berlaku ini untuk melaksanakan sistem pengurusan bencana lebih baik.

* Engku Shariful Azni ialah Wartawan Sinar Harian