Peniaga pasar sukar dapat bekalan ayam

Bekalan ayam terhad menjejaskan operasi jualan apabila stok diterima sekadar cukup buat pelanggan yang membuat tempahan awal.
Bekalan ayam terhad menjejaskan operasi jualan apabila stok diterima sekadar cukup buat pelanggan yang membuat tempahan awal.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peniaga Pasar Harian Selayang berdepan kesukaran mendapatkan bekalan ayam ketika musim perayaan Tahun Baharu Cina.

Peniaga ayam, Irwan Idris, 41, berkata, pembekal terhad disebabkan ramai yang bercuti antara faktor bekalan itu sukar didapati beberapa hari ini.

Menurutnya, peniaga turut berdepan 'mainan harga' pembekal yang menaikkan harga menyebabkan bekalan diterima mahal daripada biasa.

"Pembekal cuti menyebabkan stok ayam susah diperoleh, manakala orang tengah pula letak harga tinggi, biasanya RM7.80 tetapi dinaikkan kepada RM8.20 sekilogram.

"Isu tiada bekalan ini biasanya isyarat ayam mahu naik harga. Kami dimaklumkan harga ayam mungkin akan dinaikkan 70 sen lagi pada masa terdekat," katanya ketika tinjauan Sinar Harian, pada Rabu.

Justeru dia berharap kerajaan memantau taktik pengeluar yang mengawal harga sekali gus menyebabkan peniaga kecil serta pengguna terbeban dengan kenaikan harga.

"Kerajaan jangan hanya pantau harga daripada peniaga seperti kami kerana harga diberi pemberi pembekal sudah mahal.

"Seperti sekarang, walaupun pembekal naikkan harga RM8.20 tetapi kami jual kepada pelanggan hanya RM8.80 sekilogram. Kami tak sampai hati melihat pelanggan tidak dapat membeli ayam kerana harganya mahal," katanya.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi peniaga, Samsuri Jalil, 60, berkata, bekalan terhad menjejaskan operasi jualannya apabila stok diterima sekadar cukup buat pelanggan yang membuat tempahan awal.

"Saya minta 80 ekor ayam tetapi pembekal hanya bagi 20 ke 30 ekor sahaja, jadi saya hanya dapat jual kepada mereka yang tempah awal, tiada lebihan kepada pelanggan 'walk-in'.

"Saya tak tahu motif stok terhad ini sama ada benar-benar tiada bekalan atau tidak mahu rugi kerana penetapan harga kawalan musim perayaan.

"Saya minta selepas tamat kempen harga kawalan musim perayaan, harga sedia ada dikekalkan atau diturunkan lagi. Biar pembekal yang sorok bekalan ini alami kerugian berganda," luahnya.

Dari kiri: Irwan, Mohd Kamal dan Alif
Dari kiri: Irwan, Mohd Kamal dan Alif

Sementara itu, peniaga makanan pantai timur, Mohd Kamal Azizi abdullah, 48, mengakui berdepan kesukaran mendapatkan bekalan dan menanggung beban kenaikan harga barang sebelum sambutan Tahun Baharu Cina.

"Biasa seminggu atau dua minggu nak raya harga akan naik mungkin disebabkan untuk 'cover' semula kerugian susulan pelaksanaan kawalan harga musim perayaan.

"Saya biasa beli ayam secara borong di pasar jadi harganya lebih murah tapi disebabkan masalah bekalan tak ada terpaksa beli secara runcit di pasar raya dengan harga lebih mahal," katanya.

Susulan itu dia mengambil keputusan untuk menutup operasi selama beberapa hari disebabkan isu bekalan selain pelanggan tidak ramai kerana cuti perayaan.

Seorang lagi pengguna, Alif Omar, 36, berkata, dia tidak menyedari masalah ketiadaan bekalan ayam kerana mendapatkan stok lebih awal.

"Biasanya memang setiap dua minggu, saya akan beli bahan mentah sekali gus, melainkan tambahan jika ada tetamu datang dan hari ini barulah nak mencari stok baharu," katanya.