Kegiatan proses kayu balak haram dibongkar

JELI – Kegiatan pemprosesan kayu balak disyaki secara haram di Kampung Lubok Bongor di sini ditumpaskan pada Sabtu.
Serbuan bersepadu dijalankan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) menerusi Cawangan Risik Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Bukit Aman dengan kerjasama bersama Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan.
Komander PSP Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Rosli Md Yusof berkata, pemeriksaan lanjut mendapati premis tersebut dipercayai menjalankan aktiviti memotong dan memproses pelbagai jenis kayu hutan tanpa sebarang dokumen atau permit yang sah.
Menurutnya, dua wanita tempatan berusia 38 dan 40 tahun yang bekerja sebagai kerani dan pegawai kawalan kualiti kilang telah ditahan bagi membantu siasatan.
"Polis telah merampas pelbagai peralatan pemprosesan kayu dan jentera, sebuah generator 200KW, tujuh buah mesin serta beberapa longgokan kayu pelbagai saiz.
"Nilai rampasan mesin dan peralatan dianggarkan sebanyak RM570,014, manakala nilai kayu balak dan spesies dianggarkan sebanyak RM4.4 juta menjadikan jumlah keseluruhan rampasan bernilai kira-kira RM5.17 juta," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, kesemua individu serta barang kes telah diserahkan kepada Pegawai Pemeliharaan Hutan Jajahan Tanah Merah, Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 84 Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) serta Seksyen 3(2) Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1985.
Katanya, kejayaan operasi tersebut membuktikan keberkesanan pendekatan operasi bersepadu antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi penguatkuasaan lain dalam membanteras kegiatan jenayah berkaitan sumber hutan.
"Operasi seumpama ini akan terus diperkasakan melalui kerjasama strategik antara agensi bagi memastikan aktiviti penerokaan dan pemprosesan kayu secara haram dapat dibanteras secara berkesan.
"Tindakan penguatkuasaan akan diteruskan secara konsisten berdasarkan maklumat risikan dan aduan awam bagi memelihara khazanah hutan negara daripada terus dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab," ujarnya.
Ringkasan AI
- Kegiatan pemprosesan kayu balak secara haram di Kampung Lubok Bongor ditumpaskan
- Serbuan dijalankan JKDNKA, Cawangan Risik PSP Bukit Aman dan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan
- Dua wanita tempatan ditahan bagi membantu siasatan
- Peralatan pemprosesan kayu dan jentera dirampas dengan keseluruhan nilai rampasan kira-kira RM5.17 juta
- Kes disiasat di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 dan Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1985
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
