Warna burung merpati penderaan terhadap haiwan

Tindakan peniaga mewarnakan burung merpati yang digelar sebagai 'merpati pelangi' dilihat sebagai satu tindakan tidak bertanggungjawab.
Tindakan peniaga mewarnakan burung merpati yang digelar sebagai 'merpati pelangi' dilihat sebagai satu tindakan tidak bertanggungjawab.
A
A
A

GEORGETOWN- Tindakan peniaga mewarnakan burung merpati yang digelar sebagai 'merpati pelangi' dilihat sebagai satu tindakan tidak bertanggungjawab.

Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meenakshi Raman berkata, tindakan peniaga itu juga disifatkan sebagai satu bentuk penderaan terhadap haiwan.

Menurutnya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar perlu memandang serius perkara ini dan mengambil tindakan sepatutnya bagi mengelak ia menjadi ikutan.

"SAM amat tidak menyangka peniaga sanggup berbuat demikian ke atas burung merpati. Jabatan Perkhidmatan Veterinar perlu mengambil tindakan terhadap peniaga itu segera.

"Kita membantah tindakan ini kerana ia merupakan keganasan terhadap haiwan. Ini disebabkan, merpati secara semula jadi mempunyai pigmen di seluruh badan mereka.

"Pemilik perlu bertanggungjawab terhadap kebajikan dan keperluan haiwan mereka mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 722)," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tambah Meenakshi lagi, meletakkan cat sintetik pada bulu burung merpati akan menjejaskan persekitaran semula jadi kepada haiwan berkenaan.

"Merpati yang dicat tidak berpeluang untuk menyertai merpati lain secara bebas kerana tindakan menyapu pewarna kimia pada bulunya itu akan mengganggu keadaan semula jadi haiwan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan segera perlu diambil agar perbuatan ini tidak berterusan. Merpati adalah haiwan yang perlu hidup bebas dalam keadaan persekitaran semula jadi tanpa sebarang gangguan," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang peniaga burung merpati dan ayam serama di Kampung Kepulau di Tumpat mengambil inisiatif menyembur cat di badan burung terbabit yang kemudian digelar merpati pelangi untuk melariskan jualan.

Bagaimanapun, tindakan itu mencetuskan kontroversi memandangkan ramai yang menganggap ia sebagai satu bentuk kezaliman terhadap haiwan.