Rara sudah lali dilabel pengkhianat Melayu

Young Syefura Othman
Young Syefura Othman
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman sudah lali dengan sesetengah pihak yang melabel beliau pengkhianat Melayu apabila memilih parti DAP sebagai wadah perjuangan politik.

Menurutnya, ia perkara biasa dilaluinya dan tidak mematahkan semangat untuk terus mencurahkan bakti sebaik mungkin sebagai wakil rakyat di kawasannya.

"Sebenarnya sangat penat sebab sebagai seorang Melayu dan muslim, orang sentiasa anggap kita ini sebagai pengkhianat Melayulah, pengkhianat bangsa dan sebagainya.

"Namun, perkara ini adalah biasa dan saya buktikan apa yang saya nak buat dan cara kerja saya. Jadi, orang akan menilai bukan sekadar parti tetapi kepada individu tersebut. Itu sangat penting," katanya dalam rancangan Politically Frank oleh Sinar daily.

Dalam pada itu, beliau yang juga mesra dengan panggilan Rara menjelaskan sebab mengapa memilih DAP berbanding Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"DAP memberikan ruang dan peluang kepada orang muda serta wanita dan saya lihat cara kerja daripada wakil rakyat DAP pada ketika itu sangat menarik.

"Saya rasa pendirian dan idea dibawa oleh DAP kena dengan apa yang saya kehendaki dan apa yang saya nak bawa untuk penduduk atau masyarakat di sesuatu tempat," katanya.

Artikel Berkaitan: