Ceroboh perairan negara, empat nelayan Thailand ditahan

Bot nelayan warga Thailand dicekup Maritim Malaysia Kelantan selepas dikesan menceroboh dan menjalankan kerja-kerja perikanan di kawasan perairan negara pada Selasa.
Bot nelayan warga Thailand dicekup Maritim Malaysia Kelantan selepas dikesan menceroboh dan menjalankan kerja-kerja perikanan di kawasan perairan negara pada Selasa.
A
A
A

PASIR PUTEH - Empat nelayan warga Thailand dicekup Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan selepas dikesan menceroboh dan menangkap ikan di kawasan perairan negara pada Selasa.

Bot yang dinaiki empat kru warga Thailand termasuk tekong berusia antara 23 hingga 71 tahun itu ditahan Maritim Malaysia Kelantan pada jam 12.30 tengah hari.

Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, semasa melakukan rondaan rutin anggota bertugas telah menerima maklumat dari salah sebuah pelantar minyak yang memaklumkan telah melihat bot nelayan asing berhampiran kawasan tersebut.

"Bot tersebut kita tahan di kedudukan sekitar 85.1 batu nautika dari muara Tok Bali," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Menurutnya, semasa ditahan tekong gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran melakukan aktiviti perikanan di perairan Malaysia.

Beliau berkata, kesemua kru termasuk tekong dan bot telah ditahan serta dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Kelantan untuk siasatan lanjut.

Syed Adli berkata, kes akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985.

"Nilai rampasan termasuk bot, ikan 300 kilogram, 200 liter diesel dan peralatan menangkap ikan dianggarkan berjumlah RM650,000.

Artikel Berkaitan:

"Hasil saringan ujian Covid-19 mendapati kesemua nelayan asing itu bebas daripada jangkitan tersebut," katanya.