Ketua Staf Markas Angkatan Bersama didakwa pecah amanah tabung tentera RM5 juta

Mohamed Fauzi Khamis tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dengan diiringi pegawai SPRM pada Jumaat. Foto: Rosli Talib
Mohamed Fauzi Khamis tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dengan diiringi pegawai SPRM pada Jumaat. Foto: Rosli Talib
A
A
A

KUALA LUMPUR – Ketua Staf Markas Angkatan Bersama, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Fauzi Kamis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas satu pertuduhan pecah amanah Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) sebanyak RM5 juta, tiga tahun lalu.

Mohamed Fauzi, 56, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

"Faham dengan pertuduhan tersebut, saya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan," katanya yang hadir ke mahkamah dengan memakai kot berwarna biru.

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa ketika menjawat jawatan Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan TKAT, telah diamanahkan penguasaan ke atas wang berjumlah RM5 juta milik tabung kebajikan itu di dalam akaun sebuah bank.

Bapa kepada tiga anak itu didakwa melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta tersebut dengan menyalahgunakannya, iaitu membuat pelaburan tambahan dalam sebuah syarikat tanpa mendapat kelulusan Jawatankuasa Pelaburan TKAT.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Kementerian Pertahanan Malaysia, Jalan Padang Tembak, Kementah di sini pada 27 November 2023.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, Mohamed Fauzi pernah menyempurnakan upacara pelepasan pasukan Operasi Bantuan Kemanusiaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke Myanmar susulan gempa bumi yang berlaku pada 28 Mac tahun lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How, Nurul Qistini Qamarul Abrar dan Nurul Izzati Sapifee, manakala peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar hadir bagi pihak tertuduh.

Artikel Berkaitan:

AKAN MENYUSUL

 

 

Ringkasan AI

  • Ketua Staf Markas Angkatan Bersama, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Fauzi Kamis, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah RM5 juta TKAT
  • Beliau dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dengan tuduhan melakukan pecah amanah jenayah
  • Mohamed Fauzi didakwa semasa menjawat Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan TKAT
  • Dia dituduh menyalahgunakan wang RM5 juta milik TKAT tanpa kelulusan Jawatankuasa Pelaburan
  • Kesalahan didakwa melakukan di Kementerian Pertahanan Malaysia pada 27 November 2023, hukuman boleh mencapai 20 tahun penjara, sebatan dan denda

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!