NRES beri kerjasama penuh siasatan SPRM kes e-waste

SHAH ALAM - Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memberi komitmen untuk bekerjasama sepenuhnya dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan penahanan seorang Pegawai Kanan Jabatan Alam Sekitar (JAS) berkaitan pengurusan sisa elektronik (e-waste).
Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, kementerian itu mengambil maklum mengenai laporan penahanan pegawai berkenaan bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan oleh SPRM.
Menurut beliau, NRES tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah guna kuasa, penyelewengan atau amalan rasuah yang melibatkan mana-mana kakitangan di bawah kementerian itu.
“Integriti adalah teras utama dalam memelihara kelestarian alam sekitar negara dan kementerian sama sekali tidak akan bertoleransi terhadap sebarang pelanggaran prinsip tadbir urus,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, NRES akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus dan terperinci.
Dalam pada itu, Arthur Joseph berkata, beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian untuk memastikan semua fungsi dan operasi harian JAS berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan.
Langkah itu, jelasnya, penting bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat serta pemantauan alam sekitar terus diutamakan.
Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan semua pihak agar menghormati proses undang-undang dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan pihak berkuasa.
“NRES akan terus memantau perkembangan kes ini dari semasa ke semasa dan akan mengambil tindakan susulan di peringkat dalaman selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib), sekiranya perlu,” tambahnya.
Ringkasan AI
- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) berkomitmen bekerjasama dengan SPRM dalam siasatan penahanan seorang Pegawai Kanan JAS berhubung e-waste
- NRES tidak akan berkompromi terhadap salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah
- Integriti dianggap teras utama dalam memelihara kelestarian alam sekitar
- NRES akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM untuk siasatan yang telus dan terperinci
- Ketua Setiausaha Kementerian diarahkan memastikan operasi JAS berjalan seperti biasa tanpa gangguan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

