[VIDEO] Enggan kembali kepada suami punca wanita ditumbuk

Video pertelingkahan seorang lelaki dan seorang wanita di satu kawasan awam tular pada Isnin.
Video pertelingkahan seorang lelaki dan seorang wanita di satu kawasan awam tular pada Isnin.
A
A
A

JITRA - Polis sedang memburu seorang lelaki berusia 33 tahun yang terlibat dalam kejadian memukul isterinya di Tasik Bandar Darulaman, dekat sini pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, isteri lelaki tersebut hadir membuat laporan pada hari sama jam 7.30 petang dengan mendakwa telah ditumbuk di bahagian belakang badan dan ditarik rambut dengan kuat oleh suspek.

Menurutnya, pengadu tidak mahu kembali kepada suspek dan mereka kini dalam proses perceraian serta tinggal berasingan sejak 8 November tahun lalu.

"Semasa kejadian, pengadu telah pergi ke kawasan Tasik Bandar Darulaman Jitra untuk mengambil anak perempuannya berusia enam tahun yang dijaga sementara oleh suspek.

"Suspek bertindak memukul pengadu menyebabkan wanita itu menjerit meminta pertolongan sebelum orang awam datang membantu.

"Suspek berhenti memukul pengadu dan melarikan diri apabila orang awam menggertak akan membuat laporan polis terhadapnya," katanya dalam satu kenyataan pada malam Isnin.

Beliau berkata demikian mengulas satu video tular di media sosial pada Isnin memaparkan pertelingkahan seorang lelaki dan seorang wanita di satu kawasan awam.

Mengulas lanjut, Rodzi berkata, pada Ahad kira-kira jam 1 pagi, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu telah pergi ke alamat rumah tidak bernombor di belakang sebuah pasar raya di Changloon, namun didapati rumah berkenaan berkunci dan tidak berpenghuni.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan mengesan suspek masih giat dijalankan. Semakan rekod mendapati suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes pukul iaitu mendatangkan kecederaan.

"Pihak polis menyeru mana-mana orang awam yang melihat kejadian tampil bagi membantu siasatan," katanya.

Tambahnya, kertas siasatan dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 323/18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.