Kebakaran alat penyaman udara disyaki punca wanita maut

Keadaan sebuah rumah kedai di Taman Overseas Union, yang terbakar pada Ahad. - Foto Bomba Kuala Lumpur
Keadaan sebuah rumah kedai di Taman Overseas Union, yang terbakar pada Ahad. - Foto Bomba Kuala Lumpur
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kebakaran alat penyaman udara dipercayai punca seorang wanita ditemukan mati kerana sesak nafas di sebuah rumah kedai di Taman Overseas Union, di sini, pada Ahad.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintenden Basri Sagoni berkata, hasil siasatan oleh forensik Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat mendapati tiada unsur jenayah pada masa kejadian.

"Mangsa meninggal dunia kerana sesak nafas dan terbakar kerana punca kebakaran bermula dari wayar alat penyaman udara, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Pada Ahad media melaporkan, mayat wanita tempatan berusia 47 tahun itu ditemukan oleh anggota bomba dalam sebuah bilik berhampiran ruang dapur yang terbakar.

Terdahulu, Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada jam 8.43 pagi.

Seramai sembilan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Petaling kemudian digerakkan ke lokasi kejadian.

Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Khairul Nizat Mohammad Rokhi, sebaik pasukannya tiba di lokasi, kebakaran sudah berjaya dipadamkan oleh orang awam.