Covid-19: Kluster pendidikan terus dominasi jangkitan

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Kluster pendidikan terus mendominasi penularan Covid-19 di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 106 kluster yang dikesan bagi tempoh minggu epidemiologi (ME) ke empat yang bermula dari 23 sehingga 29 Januari, 81 atau 76.4 peratus adalah kluster pendidikan.

"KKM dan agensi-agensi berkaitan sentiasa berusaha untuk mengemaskini prosedur operasi standard (SOP) semasa dalam memastikan proses pembelajaran dapat berjalan lancar dan selamat," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, bagi tempoh sama, KKM merekodkan 19 kluster tempat kerja, empat kluster komuniti dan dua kluster kumpulan berisiko tinggi.

"Masih terdapat peningkatan kluster baharu dalam beberapa kategori kluster seperti tempat kerja, institusi pendidikan dan komuniti selari dengan pembukaan semua sektor sosial dan sesi persekolahan," katanya.

Beliau berkata, empat kluster komuniti yang dilaporkan adalah berpunca daripada penularan jangkitan dalam kalangan ahli keluarga atau kontak rapat.

"Orang ramai dinasihatkan untuk tidak mengambil mudah sekiranya bergejala dan melakukan ujian kendiri dengan kadar segera agar rantaian Covid-19 dapat diputuskan secepat mungkin," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah kes baharu Covid-19 yang dilaporkan bagi tempoh sama adalah meningkat sebanyak 34.6 peratus iaitu 31,980 kes berbanding ME sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

"Walau bagaimanapun, kes kematian menunjukkan penurunan yang konsisten sebanyak 27.5 peratus sehingga mencapai dua angka iaitu dengan 74 kematian pada ME Ke-4 berbanding 102 kematian pada ME Ke-3," katanya.

Ujarnya, penurunan itu dicatatkan KKM semenjak ME Ke-52 tahun lalu.

"Kali terakhir kes kematian mingguan mencatat angka dua digit adalah pada ME ke-17 tahun 2021 iaitu sebanyak 95 kes," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, purata kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) juga menunjukkan penurunan 15.5 peratus iaitu 109 kes pada ME Ke-4 berbanding 129 kes ME Ke-3.

"Penurunan kes ICU secara konsisten telah dilaporkan sejak ME Ke-33 tahun 2021 dengan sedikit peningkatan pada ME Ke- 44 tahun sama dan penurunan semula kes ICU dicatatkan sejak 11 minggu lalu iaitu pada ME Ke-45," katanya.

Sementara itu, purata nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) meningkat 10 peratus daripada 1.01 kepada 1.12 hingga 1.13 pada ME Ke-4.

Bersempena sambutan Tahun Baharu Cina, semua pihak perlu mengambil langkah berjaga-jaga dalam keriangan bagi mengurangkan risiko jangkitan kepada ahli keluarga, terutamanya golongan berisiko tinggi seperti warga emas dan pesakit kronik.

"Elakkan berkumpul jika tidak sihat, sentiasa memakai pelitup muka dan memilih tempat bertemu dengan pengudaraan yang baik.

"Semua tingkap dan pintu perlu dibuka untuk meningkatkan pengudaraan selain kekal mengamalkan SOP yang ditetapkan," katanya.