Kuasa minta Kelantan perjelas pengurusan hutan terkini

MEOR RAZAK
MEOR RAZAK
A
A
A

KOTA BHARU - Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) meminta kerajaan Kelantan dan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) menjelaskan keadaan terkini pengurusan sumber hutan di negeri ini.

Penasihat Kuasa, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, ia berikutan banyak kenyataan oleh kedua-dua pihak berkenaan sebelum ini didakwa bersifat terlalu umum, malah boleh dipersoal.

“Ketika ini kebanyakan kenyataan yang diberi oleh pimpinan kerajaan Kelantan dan JPNK berhubung pengurusan sumber hutan di Kelantan adalah terlalu umum, mengelirukan dan boleh dipersoal.

“Mereka sepatutnya menjelaskan dengan telus keadaan terkini pengurusan sumber hutan di Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Beliau yang juga Pegawai Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM) menuntut penjelasan itu dengan mempersoalkan isu pensijilan Malaysian Criteria and Indicators for Sustainable Forest Management (MC&I) di bawah Skim Pensijilan Kayu Balak (MTCS), Unit Pengurusan Hutan (UPH) negeri Kelantan yang digantung sejak 2016 sehingga sekarang.

“Sekiranya Kelantan komited untuk memastikan semua kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) diurus sepenuhnya mengikut amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (PHSB) dengan mematuhi kuota Catuan Tebangan Tahunan (CTT) dan mengamalkan Sistem Tebangan Memilih (SMS), mengapakah pensijilan MC&I itu digantung.

“Adakah akibat mengusahasil melebihi kuota CTT dan melaksanakan pembangunan ladang hutan (ladang monokultur) di kawasan HSK yang mengamalkan kaedah pengusahasilan SMS,” soalnya.

Aktivis alam sekitar terbabit turut mendakwa penggantungan pensijilan di bawah MTCS adalah petunjuk bahawa kerajaan itu tidak mempunyai dasar dan iltizam untuk mengurus serta mengusahasil sumber hutan secara mampan.

Artikel Berkaitan:

“Mereka menyatakan hanya melaksanakan pengusahasilan secara SMS sahaja tetapi tidak menyentuh langsung pengusahasilan secara tebang habis berskala besar untuk tujuan pelaksanaan pembangunan ladang monokultur dalam kawasan HSK.

“Masyarakat umum tidak mempersoal kegiatan pengusahasilan dilakukan secara sah atau tidak sah malah tidak juga menafikan hasil hutan adalah antara pendapatan kepada negeri tetapi masyarakat umum tidak boleh menerima kegiatan pengusahasilan di negeri Kelantan dieksploitasi secara rakus,” katanya.

Tambahnya, kerakusan kegiatan pengusahasilan di Kelantan disifatkan bertambah parah apabila hampir 28 peratus keluasan HSK di negeri tersebut dipercayai dizonkan untuk tujuan pelaksanaan pembangunan ladang monokultur.

Katanya, selain itu perlu dijelaskan status terkini perdagangan kredit karbon melibatkan 25 peratus daripada keluasan kawasan berhutan di Kelantan yang dikatakan tidak mendapat persetujuan terlebih dahulu daripada kerajaan Persekutuan.

“Malah, perjanjian persefahaman antara kerajaan negeri dengan sebuah syarikat baru-baru ini untuk melaksana pembangunan ladang monokultur secara lestari dipercayai bercanggah dengan ketetapan Mesyuarat Majlis Tanah Negara ke-79 yang membuat ketetapan berhubung persetujuan secara prinsip pelaksanaan monatorium kelulusan baharu penubuhan ladang hutan dalam kawasan HSK.

“Itu tidak termasuk kegiatan perlombongan dan pengkuarian dalam kawasan HSK, pengusahasilan secara tebang habis untuk tujuan melaksana pembangunan ladang monokultur, perlombongan dan pengkuarian berskala besar dalam kawasan HSK memusnahkan litupan asal (hutan asli),” katanya.