Pemilik jeti ditahan bersekongkol dengan sindiket PATI

Antara migran yang ditahan dalam operasi di Sungai Besar Sabak Bernam pada Sabtu.
Antara migran yang ditahan dalam operasi di Sungai Besar Sabak Bernam pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pemilik jeti dan bot ditahan kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sungai Besar Sabak Bernam pada Sabtu.

Ketua Penolong Pengarah Pencegahan Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, pihaknya turut menahan seorang tekong dan 34 migran dalam operasi pada jam 1 pagi.

Menurutnya, kesemua migran adalah warga Indonesia, tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai baru masuk ke Malaysia melalui laluan tidak diwartakan.

"Hasil soal siasat terhadap migran, bayaran yang dikenakan untuk masuk ke Malaysia adalah empat juta hingga 10 juta rupiah (RM1,200-RM3,000) yang dibayar kepada ejen di Indonesia.

"Hasil soal siasat juga mendedahkan tekong serta ejen ini aktif menguruskan migran keluar dan masuk Malaysia sejak tiga bulan lalu," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Fadil berkata, sebuah bot, dua unit telefon bimbit dan tiga buku nota tercatat angka disyaki hasil daripada aktiviti penyeludupan migran turut dirampas.

"Kesemua individu termasuk migran berusia 20 tahun hingga 50 tahun serta barang rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Atipsom 2007," katanya.

Artikel Berkaitan: