Malaysia teruskan usaha komuniti global tamatkan NTD

Khairy
Khairy
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia akan terus menyertai usaha komuniti global untuk menamatkan Penyakit Tropika Terabai Sedunia (NTD) dan membebaskan generasi akan datang daripada penyakit kemiskinan.

NTD merangkumi 20 jenis penyakit seperti denggi, chikungunya, penyakit chagas, ulser buruli dan lain-lain yang mampu melemahkan, menjejaskan fizikal serta boleh menyebabkan kematian.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, NTD boleh memberi kesan terhadap kualiti kehidupan seharian serta menghalang perkembangan kognitif dan fizikal mereka yang menghidapinya.

"Pada masa ini, terdapat seramai 1.7 bilion pesakit (satu dalam lima) yang menderita penyakit NTD di seluruh dunia. Oleh itu, usaha bagi mengakhiri NTD adalah amat penting dan amat dialu-alukan.

"Bagaimanapun, penyakit NTD merupakan penyakit yang boleh ditangani. Ini terbukti apabila 43 buah negara berjaya menghapuskan sekurang-kurangnya satu penyakit NTD.

"Hasilnya, seramai 600 juta penduduk dunia juga sudah tidak memerlukan rawatan bagi penyakit NTD," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Hari Penyakit NTD disambut setiap tahun pada tanggal 30 Januari sejak tahun 2020.

Menurutnya, sesetengah penyakit yang telah lama membelenggu manusia sejak berkurun lamanya seperti penyakit tidur (sleeping sickness) dan penyakit cacing guinea (guinea worm disease) juga berjaya dikurangkan sehingga ke tahap yang paling rendah.

Artikel Berkaitan:

Khairy berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama Crown Prince Court of Abu Dhabi Yayasan Bill dan Melinda Gates, Carter Center, The END Fund, Uniting to Combat NTDs, DNDi dan lebih 300 pemimpin kerajaan, kesihatan, komuniti dan perniagaan, menggunakan kesempatan itu untuk melaksanakan pelbagai aktiviti kesedaran termasuklah ceramah daripada pakar kesihatan serta penyampaian maklumat berkenaan NTD kepada masyarakat dalam usaha menghapuskan NTD secara menyeluruh.

"Tahun 2022 menyaksikan penglibatan kali kedua negara dalam sambutan World NTD dan fokus utama Malaysia adalah memerangi penyakit denggi.

"Selama empat dekad, beban global daripada denggi telah meningkat secara mendadak. Peningkatan ini sangat membimbangkan, terutamanya dengan perubahan iklim yang membawa kepada fenomena pemanasan global yang turut memberi kesan dalam transmisi penyakit denggi.

"Namun begitu, Malaysia telah berjaya mengurangkan kes denggi daripada 90,304 kes pada tahun 2020 kepada 26,365 kes pada tahun 2021 iaitu penurunan sebanyak 70.8 peratus," katanya.

Beliau menegaskan, Malaysia bertekad untuk meneruskan trajektori itu dengan meningkatkan kesediaan menangani denggi.

"Sambutan hari NTD pada tahun ini mengetengahkan tema 'komited 100 peratus'.

"Ia bertujuan untuk menyeru para pemimpin peringkat global menunjukkan solidariti dan 100 peratus komitmen mendokong sasaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk menghapuskan NTD di 100 buah negara menjelang 2030.

"Sebagai solidariti bersama gerakan NTD ini, KKM juga akan menyalakan struktur ikonik di negara kita seperti Menara Kuala Lumpur dan Pintasan Saloma pada 30 Januari 2022," katanya.