AMK cadang enam calon muda bertanding dalam PRN Johor

Akmal Nasir (tengah) selepas mempengerusikan mesyuarat AMK peringkat negeri di Pejabat PKR Johor di Pusat Perdagangan Utama, Johor Bahru, pada Ahad.
Akmal Nasir (tengah) selepas mempengerusikan mesyuarat AMK peringkat negeri di Pejabat PKR Johor di Pusat Perdagangan Utama, Johor Bahru, pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Angkatan Muda Keadilan (AMK) mencadangkan sekurang-kurangnya enam calon muda daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua AMK PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, senarai enam calon tersebut sudah diserahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk ditimbangkan bertanding pada PRN itu.

"Kita cadangkan 30 peratus daripada calon yang akan bertanding dalam PRN Johor adalah calon muda. Kerusi yang mereka akan tandingi melibatkan kawasan campuran termasuk di kawasan luar bandar.

"Ada (kerusi) di Johor Bahru dan dan juga kawasan lain. Kita mahukan keseimbangan (dalam pembahagian kerusi) supaya apabila (calon muda) menang mereka dapat diberikan peranan sewajarnya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat AMK peringkat negeri di Pejabat PKR Johor di Pusat Perdagangan Utama di sini pada Ahad.

Seramai 2.576 juta pengundi biasa daripada keseluruhan 2.599 juta pengundi berdaftar layak mengundi pada PRN Johor yang akan diadakan tidak lama lagi.

Menurut data yang diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 17 Januari lalu, jumlah pengundi tidak hadir luar negara adalah seramai 376 orang di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan SPR, daripada jumlah keseluruhan itu, 22,536 orang merupakan pengundi awal melibatkan 10,958 anggota tentera dan pasangan, manakala 11,578 pula anggota polis dan pasangan mereka.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Akmal Nasir berkata, menerusi calon muda tersebut AMK akan tumpu dan bawakan isu-isu orang muda walaupun menyedari anak muda tidak meminta atau mahukan PRN tersebut diadakan.

Beliau berkata, pandangan dan 'mood' golongan itu mahukan lebih ramai anak muda ke depan selain mahukan kepimpinan lebih baharu dan 'segar' mengambil amanah serta tanggungjawab sebagai pemimpin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, PRN itu amat penting malah sama penting dengan pilihan raya umum (PRU) dan sebab itu, rakyat Johor perlu mengundi.

"Ini bukan kepentingan rakyat Johor atau mahu tentukan siapa Menteri Bedar tetapi hakikatnya terdapat percaturan politik yang lebih besar di Johor boleh berlaku sedangkan PRU dalam tempoh setahun," katanya.

Menurut beliau, selain isu anak muda, pihaknya juga akan membawakan isu besar dalam PRN berkenaan contohnya kenaikan harga barang yang dijangka berlaku selepas Tahun Baharu Cina.

“Bagi saya kita akan buktikan atau tunjukkan bagaimana harga barang ini memberi kesengsaraan kepada rakyat dan bagaimana rakyat boleh membuat pilihan dengan lebih baik,” katanya.