PRN Johor: Parti politik cari formula kerjasama

Kebanyakan parti politik dilihat masih mencari-cari formula kerjasama yang paling ampuh bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini. Gambar hiasan
Kebanyakan parti politik dilihat masih mencari-cari formula kerjasama yang paling ampuh bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini. Gambar hiasan
A
A
A

MENGHAMPIRI tempoh seminggu selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, kebanyakan parti politik dilihat masih mencari-cari formula kerjasama yang paling ampuh bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Di sebalik ketegasan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk bergerak sendirian dan bertanding di kesemua 56 kerusi DUN, namun kenyataan terbaharu daripada Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan pada Khamis menunjukkan gabungan tersebut masih membuka ruang untuk bekerjasama dengan Pas.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, meskipun majoriti kepimpinan di peringkat bahagian dan akar umbi mahu bergerak solo, namun pucuk pimpinan gabungan itu terlebih dahulu membuat penelitian sebaiknya sebelum apa juga keputusan akan dibuat.

Pada masa sama, bekas Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia pada Khamis turut berkata, kerajaan akan terus menyokong muafakat dan kerjasama dalam kalangan parti gabungan.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin pada Khamis menyatakan bahawa masih ada masa untuk Pas dan UMNO mengadakan rundingan bagi bekerjasama dalam PRN Johor.

Sementara itu, Perikatan Nasional (PN) melalui Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin memaklumkan gabungan itu setakat ini memutuskan untuk bertanding di semua 56 yang bakal dipertandingkan dalam PRN Johor.

Ahli Parlimen Pagoh itu juga dilaporkan berkata, PN bersedia untuk menerima pandangan pelbagai pihak mengenai kemungkinan kerjasama membabitkan gabungan parti lain termasuk membabitkan PH atau BN.

Selain itu, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pula pada Khamis memaklumkan bahawa gabungan itu masih belum menerima permohonan Perikatan Nasional (PN) untuk bekerjasama dalam PRN Johor.

Artikel Berkaitan:

Malah, Presiden Parti Amanah Nasional (Amanah), Mohamad Sabu turut menyatakan perkara tersebut setakat ini masih tidak dibincangkan dalam Majlis Presiden PH.

Ahli Parlimen Bukit Raja juga memaklumkan Pakatan Harapan (PH) sudah menyelesaikan pembahagian semua 56 kerusi DUN bakal ditandingi dengan Amanah dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) masing-masing akan bertanding 20 kerusi manakala DAP pula bertanding 16 kerusi.

Pada masa sama, Mohamad juga menyatakan terdapat parti pembangkang lain yang bukan komponen PH mahu mengadakan perbincangan untuk bekerjasama dalam PRN Johor.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memaklumkan bahawa gabungan itu memutuskan untuk membuka ruang kerjasama dengan semua parti pembangkang termasuk Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Perbincangan mengenai kemungkinan kerjasama politik untuk menghadapi PRN Johor dijangka akan terus berlaku sehingga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selesai mengadakan mesyuarat khas pada 9 Februari depan dan seterusnya mengumumkan tarikh penamaan calon dan pengundian.