Adik MB Selangor lawan MB Johor di DUN Benut?

Aziz Shari
Aziz Shari
A
A
A

PONTIAN - [DIKEMAS KINI] Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Pontian, Aziz Shari, 33, disebut-sebut antara calon yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut (N53) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Aziz yang juga adik kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan menentang Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad yang merupakan penyandang kerusi DUN Benut.

Ketika dihubungi Sinar Harian, Aziz memberitahu kerusi DUN Benut yang sebelum ini ditandingi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu kini menjadi milik Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Tidak menolak kemungkinan akan diletakkan sebagai calon di DUN Benut pada PRN kali ini, Aziz yang merupakan anak jati Benut menyerahkan segala keputusan kepada pucuk pimpinan.

"Jika kepimpinan PKR dan Pakatan Harapan (PH) memilih saya sebagai calon di DUN Benut, saya akan menerimanya tetapi jika sebaliknya, saya terima dengan hati yang terbuka.

"Saya memang berasal dari Kampung Asam Kumbang Benut. Saya cukup mengenali selok belok masyarakat di Benut dan sentiasa mencurahkan bakti membantu mereka selama ini," katanya.

Aziz yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dan pernah bekerja di Majlis Daerah Pontian (MDP) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengakui tidak gentar bertanding di DUN Benut meskipun kerusi terbabit merupakan kubu kuat UMNO.

"Dalam politik, perlu sentiasa bersedia dan jangan takut. Bagi saya, peluang untuk anak muda bertanding perlu dilihat sebagai kelebihan. Bagaimanapun, saya menghormati Hasni yang lebih berpengalaman daripada saya.

Artikel Berkaitan:

"Sejak PRU14, saya bersama jentera AMK Pontian sudah mendekati masyarakat di Benut dan daerah Pontian keseluruhannya," katanya.

DUN Benut merupakan antara dua kerusi DUN yang terletak di dalam Parlimen Pontian selain DUN Pulai Sebatang

Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor merupakan penyandang di DUN Benut selama tiga penggal sejak Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008.

Pada PRU14 lalu, Hasni menewaskan menewaskan calon Bersatu Zulkifly Tasrep dan Pas Mohd Firdaus Jaafar dengan majoriti 4,447 undi.