45 lokasi kemalangan maut dikenal pasti di Johor

Kamarul Zaman menyampaikan cenderahati kepada pengguna jalan raya pada Pelancaran Op Selamat 17 Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Kempas pada Ahad. - Foto Bernama
Kamarul Zaman menyampaikan cenderahati kepada pengguna jalan raya pada Pelancaran Op Selamat 17 Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Kempas pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis mengenal pasti 45 kawasan hitam atau 'blackspot' di negeri ini yang sering menjadi lokasi kemalangan maut terutama ketika musim perayaan.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya menugaskan seramai 25 pegawai dan 215 anggota sepanjang Op Selamat 17, bermula Jumaat lepas hingga 6 Februari sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Beliau berkata, Op Selamat 17 memfokuskan dua objektif utama iaitu rumah selamat, perjalanan selamat yang membawa maksud mencegah jenayah pecah rumah dan mengurangkan kemalangan jalan raya.

"Pengguna jalan raya perlu patuhi tip yang diberikan pakar keselamatan jalan raya sebagai contoh apabila mengantuk perlu berhenti, selain menjaga jarak dengan kenderaan lain dan elak mengikut rapat kenderaan lain.

"Kalau kenderaan berhenti atau rosak di lebuh raya, sila keluar dari kenderaan dan minta bantuan daripada pihak yang berkaitan seperti anggota peronda Lebuhraya Utara Selatan (PLUS),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Op Selamat 17 Sempena Tahun Baharu Cina Peringkat Kontinjen Johor di Plaza Tol Kempas di sini pada Ahad.

Kamarul Zaman berkata, lokasi kerap berlaku kemalangan di negeri ini terutama ketika tiba musim perayaan melibatkan kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, Johor Bahru Utara, Seri Alam dan Iskandar Puteri.

Beliau turut menasihatkan orang ramai yang ingin pulang ke kampung dan menyambut perayaan supaya melaporkan perancangan cuti kepada polis dengan mengisi borang maklumat balik kampung yang boleh diperoleh di balai polis berhampiran atau dimuat turun menerusi portal rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Mereka juga boleh memaklumkan pergerakan menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) selain menghubungi Hotline 999 bagi membolehkan pihak PDRM bersama komuniti memantau rumah yang ditinggalkan," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: